PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu segera menyatakan sikap dan tidak boleh terus berdiam diri terhadap dakwaan salah laku melibatkan ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki, kata Edmund Terence Gomez.
Tindakan membisu perdana menteri, biarpun dua bulan selepas dakwaan itu timbul, hanya akan mengikis keyakinan umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas anggota panel perunding SPRM berkata Ismail Sabri juga mesti segera menubuhkan badan bebas untuk menyiasat dakwaan serius terhadap Azam.
“Perdana menteri mesti jawab perkara ini. Kenapa PM diam? Adakah media cari PM untuk dapatkan penjelasan?
“Jelas sekali kita perlu membetulkan institusi dan sistem tadbir urus.
“Kalau itu mahu dilakukan, kita mesti segera wujudkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat dakwaan ini. Perdana menteri yang paling bertanggungjawab untuk melakukannya,” kata Gomez dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Agensi antirasuah itu kini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Pada Isnin, Gomez letak jawatan anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM sebagai membantah apa yang disifatkannya sikap acuh tak acuh Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang dan pengerusi PPPR Borhan Dollah berhubung maklumannya mengenai dakwaan terhadap Azam.
Beliau mendakwa wujud “konflik kepentingan” melibatkan pegawai tinggi agensi antirasuah serta hubung kait antara perniagaan dan penguatkuasa.
Azam didakwa mempunyai jumlah saham yang besar dalam syarikat tersenarai awam dan dipercayai tidak mengisytiharkan pemilikannya.
Azam dikatakan memiliki 1.9 juta saham dalam Gets Global Berhad setakat 30 April 2015 serta 1.029 juta saham setakat 31 Mac 2016.
Beliau juga didakwa mempunyai 2.156 juta saham dalam Excel Force MSC Berhad sementara adiknya memiliki 3.728 juta saham dalam Gets Global.
Jelas Gomez, media ada peranan mustahak untuk memastikan pihak yang berkuasa menjawab tuduhan terhadap Azam.
“Kalau media tidak memastikan mereka yang bertanggungjawab bersuara dan tiada badan bebas untuk menyiasatnya, saya bimbang kewibawaan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah terjejas.
“Saya harap media akan terus membangkitkan isu ini sehingga mereka yang dinamakan bertanggungjawab dan bersuara serta ada tindakan susulan diambil,” tambahnya.
Awal hari ini, bekas pengerusi lembaga penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti dakwaan mengenai kewibawaan agensi antirasuah itu.
Katanya suruhanjaya siasatan diraja juga boleh menentukan kebenaran berhubung dakwaan konflik kepentingan melibatkan Azam.
Parlimen kena panggil Azam
Gomez juga menyambut baik cadangan ahli Parlimen supaya Azam dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menjelaskan dakwaan terhadapnya.
Isu itu katanya harus mereka tangani bersama.
“Saya gembira sekurang-kurangnya ahli Parlimen mengusulkan perkara itu. Mesti ada susulan terhadap cadangan itu.
“Kalau kita lihat cadangan dalam Pelan Antirasuah Nasional, yang diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan, perkara ini ada (menggunakan jawatankuasa khas Parlimen).
“Jadi teruskanlah dengan cadangan ini,” katanya.
Pada 14 Disember, Yang DiPertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul tergempar yang dikemukakan ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah untuk Dewan Rakyat membahaskan dakwaan melibatkan Azam.
Beberapa ahli Parlimen kemudian menggesa jawatankuasa khas memanggil Azam.
Azam sehingga ini belum membuat kenyataan mengenai isu yang berbangkit mengenai dirinya. – 2 Januari, 2022.
Komen