Ahli Parlimen gesa pengerusi jawatankuasa pilihan bincang isu Azam Baki


Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu panggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk menjelaskan dakwaan pemilikan sahamnya. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Disember, 2021.

DUA ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mahu panel Parlimen bermesyuarat berhubung dakwaan konflik kepentingan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa pengerusi jawatankuasa pilihan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman memanggil mesyuarat, dan ahli jawatankuasa lain menyokong cadangan mereka.

“Kita sudah pun mencadangkan mesyuarat seperti itu kepada ahli jawatankuasa pilihan khas ini termasuk kepada pengerusi Kuala Krai untuk memanggil mesyuarat minggu depan bagi menyoal Azam berhubung dakwaan terhadapnya. Kami menggesa ahli jawatankuasa pilihan khas yang lain untuk menyokong gesaan kami,” kata Khoo dan Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu perlu bermesyuarat minggu depan agar laporan berserta cadangan boleh disediakan dan dibentangkan kepada Dewan Rakyat apabila bersidang pada 28 Februari ini.

Dewan Rakyat akan bersidang bagi sesi baharu, yang kelima untuk penggal semasa, dari 28 Februari hingga 24 Mac.

Khoo dan Chan berkata mereka bersetuju dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang yang semalam membuat gesaan supaya jawatankuasa pemilih khas menangani segera dakwaan terhadap ketua SPRM itu.

“Kami memandang serius isu itu dan bersetuju dengan Kit Siang mengenai defisit amanah terhadap SPRM yang terhakis ke tahap tidak pernah berlaku sebelum ini. Azam Baki mencemarkan nama baik SPRM dan Malaysia di persada antarabangsa,” kata Khoo dan Chan.

Azam didakwa memegang sejumlah besar saham korporat dalam sebuah syarikat bernama Gets Global pada 2015 dan 2016, dan tidak jelas sama ada beliau pernah mengisytiharkan aset ini.

Perkara itu dan gesaan siasatan dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa pada 14 Disember lalu.

Pada 27 Disember, ahli panel SPRM, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Edmund Terence Gomez meletak jawatan kerana tiada tindakan oleh ketua badan pemantau SPRM terhadap perkara itu.

Emel beliau dengan ketua panel Borhan Dolah dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang yang Gomez siarkan kepada media menunjukkan beliau telah menulis surat kepada mereka beberapa kali selama sebulan sejak 10 November untuk menangani isu itu, dan akhirnya memutuskan untuk meletakkan jawatan apabila tiada sebarang tindakan diambil. – 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen