Tubuh RCI untuk teliti dakwaan dalam SPRM, kata bekas ketua lembaga penasihat


Bekas pengerusi lembaga penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata kerajaan perlu menubuhkan RCI untuk meneliti dakwaan tidak wajar dalam SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2022.

KERAJAAN perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk meneliti dakwaan tidak wajar dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata bekas pengerusi lembaga penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Aziz berkata RCI juga boleh membantu membongkar kebenaran dakwaan konflik kepentingan yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Saya harap sesuatu yang konkrit akan dilakukan. Kerajaan harus serius mempertimbangkan untuk menubuhkan RCI,” katanya seperti dilaporkan dalam The Vibes hari ini.

Beliau mengulas persoalan oleh ahli ekonomi Edmund Terence Gomez mengenai pemilikan Azam dalam sejumlah besar saham korporat pada 2015 dan 2016.

Aziz berkata dakwaan terhadap Azam mempersoalkan kredibiliti badan itu yang boleh dirungkai oleh RCI.

“Pertama sekali saya rasa Gomez patut membuat laporan polis jika dia percaya ada kemungkinan cubaan berselindung dalam SPRM.

“Tetapi saya sangat gembira kerana beliau sudah mengemukakannya kerana saya fikir ia adalah sangat penting untuk SPRM menjelaskan sepenuhnya. Jika kita tidak boleh mempercayai SPRM untuk bersih, sama seperti jika kita tidak boleh mempercayai polis untuk menguatkuasakan undang-undang, siapa yang boleh kita percaya,” tambahnya.

Beliau juga menawarkan dirinya untuk menjadi sebahagian daripada RCI.

Azam didakwa memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad pada 30 April 2015 dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Azam juga didakwa memiliki 2,156,000 waran dalam senarai awam Excel Force MSC Berhad manakala adiknya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

Kegagalan untuk menangani dakwaan ini juga menyebabkan Gomez meletak jawatan dari panel pengawasan SPRM.

Aziz juga berkata terdapat spekulasi tentang ketidakwajaran dalam SPRM semasa beliau di lembaga penasihat SPRM tetapi ia hanya “khabar angin”.

“Tiada dakwaan terbuka tetapi ada khabar angin. Tetapi secara semulajadi saya tidak boleh bertindak mengikut khabar angin. Saya fikir ia tidak adil untuk membuat kesimpulan berdasarkan spekulasi.

“Saya tahu ada khabar angin sepanjang masa tetapi hari ini Gomez membawa isu itu secara terbuka dan dia mesti mempunyai sesuatu yang konkrit untuk berbuat demikian,” katanya. – 2 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen