Ibrahim Durum angkat sumpah sebagai speaker DUN Melaka


Bekas exco kerajaan negeri Melaka Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini, dalam Persidangan Pertama Penggal Pertama DUN Melaka ke-15. – Gambar tangkap layar Facebook, 27 Disember, 2021.

BEKAS exco kerajaan negeri Melaka Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini, dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Melaka ke-15. 

Usul melantik Ibrahim dikemukakan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Usul pelantikan Ibrahim diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala lima Adun berkecuali dan lapan Adun tidak hadir pada sesi sidang DUN berkenaan.

Sementara itu Adun Rim Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

Seramai 20 Adun mengangkat sumpah pada persidangan sidang DUN hari ini, dengan tujuh yang tidak hadir ialah Adun Ayer Molek Rahmad Mariman, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

Adun Bandar Hilir Leng Chau Yen pula tiba lambat dan terlepas sesi mengangkat sumpah berkenaan. – Bernama, 27 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen