DUN Melaka tak akan tergantung, kata Sulaiman


Kain rentang BN jelas kelihatan di Tanjung Beruas, Melaka sempena PRN Melaka pada 20 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

BARISAN Nasional (BN) hanya akan memikirkan mengenai kerjasama dengan gabungan lain di Melaka selepas pilihan raya negeri itu pada 20 November, kata bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Buat masa ini, beliau yakin satu gabungan akan mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan negeri baharu, Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata di Pantai Kundor, Melaka hari ini.

“Kita tunggu selepas pilihan raya. Kami yakin kami boleh mengekalkan kerajaan,” katanya ketika ditanya media hari ini sama ada BN mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan gabungan lain.

Beliau turut menzahirkan keyakinan Umno akan memenangi 20 kerusi yang ditandinginya. Rakan kongsinya MCA dan MIC masing-masing bertanding tujuh dan satu kerusi di bawah tiket BN.

Jawapannya apabila ditanya mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tergantung adalah: “Mustahil”.

BN antara tiga gabungan utama yang bertanding dalam PRN Melaka, dua lagi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Ketiga-tiga mereka akan bertanding di semua 28 kerusi.

Sebanyak 11 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara tiga gabungan itu; sembilan kerusi lain akan menyaksikan pertandingan empat penjuru, lima kerusi akan mempunyai pertandingan lima penjuru dan tiga kerusi akan mempunyai enam calon bertanding untuk menjadi Adun.

Sulaiman mempertahankan kerusi Lendu tetapi berada di Pantai Kundor hari ini untuk membantu calon BN berkempen.

Beliau akan menentang Mohamad Asri Ibrahim dari PH dan Mejar (B) Abdullah Mahadi dari PN.

Sulaiman menjadi ketua menteri tahun lalu selepas PH digulingkan daripada berkuasa di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri susulan Langkah Sheraton.

Bulan lalu, beliau kehilangan majoriti di DUN Melaka selepas empat Adun menarik sokongan mereka, mencetuskan pilihan raya negeri.

Sulaiman dinamakan sebagai calon BN untuk jawatan ketua menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya.

Calon PH adalah bekas ketua menteri Adly Zahari yang bertanding di Bukit Katil. PN belum menamakan calon ketua menterinya. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen