SULAIMAN Md Ali tidak wajar dilantik sebagai ketua kerajaan sementara Melaka kerana jelas sudah hilang sokongan majoriti Adun, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
“Beliau telah jelas hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak mampu lagi mengetuai kerajaan negeri Melaka.
“Perbicangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu antara setiausaha kerajaan negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama blok Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.
“Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Kamel Mohamad berkata Sulaiman mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada.
Dalam kenyataannya, Kamel berkata ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.
Menurutnya lagi, walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.
Majlis Presiden PH dalam pada itu menegaskan pilihan raya negeri tidak seharusnya perlu dielak bagi mengelak gelombang baharu jangkitan Covid-19.
Empat Adun Melaka pada 3 Oktober lalu umum menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.
Mereka adalah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Susulan tindakan mereka, pentadbiran Sulaiman mempunyai 13 daripada 28 kerusi di DUN Melaka.
Kerajaan Melaka kini terdiri daripada 12 Adun Barisan Nasional dan seorang Adun Bersatu, sementara 11 Adun pembangkang terdiri daripada 7 DAP, 2 PKR, dan 2 Amanah.
Pada 5 Oktober lalu Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tempoh pembubaran.– 12 Oktober, 2021.
Komen