Peminjam lega dengan insentif diskaun PTPTN


Aminah Farid

Peminjam yang membuat penyelesaian penuh akan mendapat diskaun 15% ke atas baki tertunggak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2021.

INISIATIF Putrajaya menawarkan diskaun kepada peminjam pinjaman pendidikan negara akan memberi mereka peluang yang baik untuk menyelesaikan pinjaman selain mempunyai pelan kewangan lebih baik, kata peminjam.

Mereka yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Bajet 2022 memberitahu The Malaysian Insight tawaran itu tepat pada masanya dan berguna buat mereka.

Azhani Fisal, seorang mahasiswa berusia 24 tahun dan seorang guru awal kanak-kanak, berkata diskaun itu akan membantunya, yang memperoleh pendapatan gaji minimum, dalam pelan aliran tunai serta simpanan.

“Selain itu, memperkenalkan diskaun menawarkan peluang kepada individu untuk menjelaskan bil mereka dan bukannya memanjangkan lagi pinjaman, yang pada pendapat saya, tidak akan memberi manfaat kepada kerajaan juga,” kata Azhani yang mempunyai pinjaman sebanyak RM20,000 untuk diselesaikan dengan PTPTN.

Dalam pembentangan Bajet 2022 pada Oktober, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan tiga bentuk diskaun untuk menggalakkan dan memudahkan pembayaran balik pinjaman kepada peminjam PTPTN.

Peminjam yang membuat penyelesaian penuh akan mendapat diskaun 15% ke atas baki tertunggak mereka.

Mereka yang menyelesaikan sekurang-kurangnya separuh daripada baki hutang mereka dalam satu pembayaran akan diberi diskaun 12%.

Sementara itu, peminjam yang memilih untuk membayar balik menerusi potongan gaji atau debit terus dengan jadual yang ditetapkan akan mendapat manfaat daripada diskaun 10%.

Bagi Adam Muqreez Shah, 20, beliau berkata, diskaun itu akan mengurangkan tekanan kepada mereka yang pendapatan mereka dikurangkan dan perlu membayar pinjaman mereka.

“Saya menyokong inisiatif ini 100%, kerana wabak ini menambahkan banyak beban kepada ramai, jadi inisiatif ini dapat membantu mereka lebih berazam untuk bekerja keras supaya dapat membayar hutang pada kadar diskaun.”

Adam berkata, dengan diskaun itu, dia terdorong untuk bekerja bagi membayar pinjaman sebanyak RM7,000 dengan PTPTN.

Inisiatif diskaun PTPTN kali pertama diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dalam Bajet 2017.

Bagaimanapun ia dimansuhkan apabila Pakatan Harapan mengambil alih dan kini diperkenalkan semula di bawah pentadbiran semasa.

Pekerja bank yang hanya mahu dikenali sebagai Tisham memuji tindakan kerajaan menghidupkan semula inisiatif itu, sambil menambah beliau mendapat manfaat apabila kali pertama ia diperkenalkan semasa pemerintahan Najib.

“Pada masa itu, ia tidak lama selepas saya memulakan kerjaya saya, jadi saya mengambil kesempatan daripada diskaun dan potongan debit langsung dan pembiayaan semula pinjaman tertunggak saya.

“Diskaun 10% bagi bayaran balik bulanan (yang ditawarkan ketika itu) adalah perkara besar bagi saya kerana bayaran bulanan saya hampir RM300.”

Tisham, 29, berkata diskaun itu mendorongnya untuk terus membayar pinjaman pelajarannya.

“Mendapat debit terus atau potongan automatik adalah idea yang bagus. Ia membantu saya menguruskan kewangan saya dengan lebih baik dan terus komited.

“Bagi seorang yang baru memulakan kerjaya ketika itu, membina skor kredit yang baik adalah penting. Memandangkan pembayaran balik PTPTN dapat dilihat pada skor CTOS anda, ia membantu saya mengekalkan rekod prestasi yang baik selama ini.

“Saya tidak fikir akan berada di tempat saya sekarang (dari segi skor kredit) tanpa diskaun, yang membantu saya terus komited.”

Pada November, kerajaan mengumumkan 539,284 peminjam PTPTN belum membayar balik pinjaman mereka setakat 30 September.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen berkata jumlah itu adalah antara 2.42 juta peminjam yang sudah menamatkan pengajian mereka dan sepatutnya menjelaskan pinjaman, yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

“Sebanyak 427,861 peminjam sudah membayar pinjaman mereka secara konsisten, manakala 705,648 tidak konsisten.”

Kementerian itu berkata PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam, dengan jumlah pengeluaran lebih RM64.8 bilion, setakat 30 September. – 20 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen