Belanjawan 2022 tidak dapat tingkat mutu pendidikan


BELANJAWAN 2022 mempunyai banyak penambahbaikan dan inovasi baharu yang dapat meningkatkan kadar keberkesanan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Namun, pihak Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Fakulti Pendidikan mewakili mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Pendidikan berpendapat banyak kekurangan pada Belanjawan 2022 yang merisaukan kualiti dan mutu pendidikan pada masa akan datang.

1. Perbelanjaan segmen terbesar tidak mencukupi dengan status negara membangun

Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022 dengan jumlah RM52.6 billion, iaitu meningkat berbanding Belanjawan 2021 iaitu RM50.4 billion ringgit.

Namun, realitinya sektor pendidikan Malaysia jauh ketinggalan dalam peruntukan wang berbanding negara negara maju lain.

Mengikut statistik 2019, Malaysia hanya memperuntuk 4.163% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding dengan negara-negara yang mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi seperti Denmark (7.8%), Finland (6.3%), New Zealand (6.0%) dan Netherlands (5.4%).

Purata negara maju membelanja kira-kira dari 5% hingga 9% daripada KDNK untuk sektor pendidikan.

Walaupun KPM mempunyai peruntukan tertinggi, namun sudah terbukti Malaysia masih tertinggal kebelakang dalam memberi peruntukan berbanding negara maju.

2. Bantuan awal persekolahan yang tidak menyeluruh

KMUM Pendidikan menyambut baik keatas penambahan Bantuan Awal Persekolahan yang meningkat dari RM100 ke RM150.

Namun, bantuan ini hanyalah dapat digunakan dalam masa yang sangat singkat dan hanya dapat menampung perbelanjaan asas saja seperti alat tulis dan pakaian harian sekolah.

Walaupun bantuan ini dikhaskan untuk awal persekolahan saja, bantuan sebegini haruslah diberi secara berkala dalam setahun bagi pelajar miskin tegar dan B40 secara khususnya.

Tambahan, wang RM150 pada hakikatnya tidak dapat dibelanjakan kepada buku rujukan dan buku latihan yang rata-rata berharga RM30 hingga RM50 untuk satu-satu subjek.

Oleh itu, KMUM Pendidikan mencadangkan adanya kolaborasi khas bersama penerbit buku latihan dan rujukan bagi mendapatkan subsidi, diskaun dan baucar khas bagi semua pelajar untuk meringankan beban.

Dengan subsidi, baucar dan diskaun ini, pelajar dapat manfaat dengan latihan lebih agar dapat meningkatkan ilmu didapati di sekolah.

3. Pengurangan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

Belanjawan 2022 menunjukkan terdapat pengurangan yang drastik terhadap perbelanjaan bagi RMT iaitu daripada RM420 juta (2021) kepada hanya RM400 juta (2022).

KMUM Pendidikan mempersoalkan adakah peruntukan ini dapat membekalkan pelajar dengan nutrisi dan gizi yang mencukupi? Sedangkan peruntukan sebelum ini hanya dapat membekalkan susu untuk dua kali seminggu?

Tambahan pula, menurut rekod Surat Pekeliling BT 19, dengan rujukan KPM.100-1/4/2 Jld.2(25), bawah tajuk “RMT di Sekolah Rendah” peruntukan bagi RMT untuk miskin tegar hanyalah RM2.50 sehari bagi murid semenanjung Malaysia dan RM3 bagi murid Sabah, Sarawak dan Labuan.

Peruntukan bagi RMT serendah ini pada 2021tidak masuk akal dengan harga barang yang kian naik tanpa henti ini.

Pihak pengusaha kantin terpaksa menggunakan bahan masakan yang berkualiti rendah demi menepati bajet diberikan KPM dan sekolah.

Oleh itu, peruntukan bagi RMT haruslah dipertingkatkan bagi menyaji pelajar dengan bukan sahaja makanan yang sihat bagi pelajar miskin tegar, tetapi secara khususnya semua pelajar agar semua mendapat khasiat secukupnya untuk menjalani pembelajaran.

Apa rasional Kementerian Kesihatan Malaysia mempromosi “badan sihat, otak cergas” apabila pelajar tidak mendapat khasiat yang secukupnya?

4. Peruntukan insentif khas alat bantuan mengajar yang tidak muhasabah

Selepas beberapa kali dicadangkan guru patut diberi insentif untuk alat bantuan mengajar, pada belanjawan kali ini diumumkan insentif akan diberikan.

Namun, jumlah yang diberikan iaitu sedikit RM100 amatlah tidak logik akal fikiran.

Set kamera webcam dan mikrofon berkualiti rendah memakan paling kurang RM50 untuk menjalani PdPR. Belum lagi dipertimbangkan lagi aplikasi pembelajaran atas talian yang dapat menarik minat pelajar yang terpaksa guru tanggung agar kehadiran pelajar di kelas atas talian sentiasa penuh, membebankan ratusan ringgit jikalau bukan ribuan ringgit.

Infrastruktur kemudahan wi-fi di rumah juga rata-rata yang dipunyai guru terpaksa dinaik taraf kerana keperluan PdPR yang memerlukan internet stabil dan laju.

Ini semua membincangkan tentang kos yang terpaksa ditanggung dan bukan secara sukarela, namun insentif diberikan tidak memadai dengan apa dilalui guru.

Kami, sebagai wakil mahasiswa Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, serta pelajar dan murid dari prasekolah sehingga sekolah menengah menggesa kritikan dan cadangan kami ini dapat dipertimbangkan.

Kami menuntut Belanjawan 2022 ini haruslah diperhalusi kembali, dan Belanjawan 2023 haruslah menambahbaik yang sedia ada. Pendidikan haruslah menjadi tunggak utama dalam merancang masa depan negara. – 3 November, 2021.

* Penulis dari Fakulti Pendidikan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen