Keluarga B40 sambut baik bantuan di bawah Bajet 2022


Elill Easwaran

Zalaha Yusof, 53, dari Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diberikan kerajaan dapat membantunya membayar bil hospital dan juga digunakan sebagai elaun perbelanjaan harian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.

KELUARGA dalam kumpulan B40 menyambut baik pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) RM2,000 yang dijanjikan kepada mereka dalam Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bantuan itu penting bagi mereka menampung kehidupan sambil menambah mereka memerlukan wang tunai segera untuk membantu perbelanjaan harian dan membayar bil.

Pemandu lori Haresh Kumar, 46, berkata bantuan yang akan disalurkan kepada keluarganya dapat banyak membantu dari segi pembayaran bil.

“Saya selalunya dibayar setiap perjalanan atau lebih tetapi sepanjang tahun ini saya tidak mendapat banyak kerja, oleh itu bantuan ini akan banyak membantu saya.

“Anak perempuan saya akan memasuki sekolah menengah tahun depan jadi ia akan membantu saya membeli pakaian sekolah baharu untuknya,” katanya dari Klang, Selangor.

Tambahnya ia juga akan membantunya membayar sewa yang tertangguh sejak dua bulan lalu.

Haresh bagaimanapun berkata dia berharap bantuan itu dapat diperoleh pada awal tahun depan supaya dapat menggunakannya untuk membeli barang keperluan.

Zalaha Yusof, 53, dari Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata bantuan itu dapat membantunya membayar bil hospital dan juga digunakan sebagai elaun perbelanjaan harian.

“Saya menghidap kencing manis jadi saya sering pergi ke hospital dan membeli ubat jadi dengan bantuan ini saya boleh membelinya.

“Kadang-kadang saya akan menaiki teksi ke hospital kerana saya tidak mempunyai pengangkutan, bantuan ini akan membantu membayar kos pengangkutan saya juga,” katanya yang merupakan seorang pesara dan tinggal bersama tiga adik perempuannya.

Chong Kah Yen, 43, seorang ibu tunggal kepada tiga anak berkata bantuan ini dapat membantunya membiayai keperluan pendidikan anak-anaknya.

“Walaupun sekolah sudah disambung semula, saya bimbang ia akan ditutup semula jadi saya boleh gunakan bantuan itu untuk membayar akses wifi.

“Dengan bantuan itu saya juga boleh membeli komputer riba untuk anak sulung yang kini menggunakan komputer riba yang dipinjamkan daripada syarikat saya,” katanya.

Chong, yang tinggal di PPR Seri Pantai di Kuala Lumpur berkata memandangkan dia seorang ibu tunggal, dia boleh menggunakan tambahan RM500 yang diperoleh untuk membeli dakwat pencetaknya.

“Adakalanya anak-anak saya mahu mencetak nota untuk pelajaran mereka tetapi dakwat pencetak agak mahal jadi saya berterima kasih atas bantuan yang ditawarkan,” katanya.

Pada Oktober Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memperkenalkan bayaran BKM sebanyak RM2,000 kepada keluarga berpendapatan rendah dengan tambahan RM500 kepada ibu bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.

“Ini bermakna ibu atau bapa tunggal yang mempynyai tiga atau lebih anak layak menerima bayaran maksimum RM2,500, bayaran bantuan sekali sahaja tertinggi yang disediakan kerajaan untuk isi rumah,” kata Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022.

Secara keseluruhan, 9.6 juta penerima layak untuk pakej bernilai RM8,2 bilion itu. – 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen