Gugur status vaksin lengkap jika tiada dos penggalak, kata Khairy


Semua penerima vaksin Sinovac dan individu 60 tahun ke atas perlu ambil dos penggalak untuk mengekalkan status vaksin lengkap Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

SEMUA penerima vaksin Sinovac dan juga individu berusia 60 tahun ke atas perlu mengambil dos penggalak untuk mengekalkan status vaksin lengkap Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan berkata individu berkenaan perlu mendapatkan dos berkenaan selewat-lewatnya pada Februari 2022.

“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap,” katanya.

Dengan itu, individu tersebut tidak akan dapat menikmati kemudahan disediakan untuk penerima dos lengkap vaksin Covid-19, tambahnya.

Ketetapan baharu itu diumumkan sewaktu negara berdepan ancaman varian baharu Omicron dengan dua kes melibatkan mutasi virus tersebut dikenalpasti setakat ini dalam negara.

Sebanyak 18 lagi kes Covid-19 juga disyaki melibatkan varian tersebut dan kini sedang diteliti kementerian.

Seramai lebih 25.5 juta individu atau 97.4% daripada populasi dewasa di negara ini menerima vaksin lengkap Covid-19 sehingga semalam.

Seramai lebih 4.1 juta penduduk sudahpun menerima dos penggalak setakat ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow menunjukkan 98.7% daripada penduduk Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 16 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen