PENERIMA vaksin Covid-19 jenis Sinovac menerima suntikan dos penggalak dalam selang masa lebih singkat kerana keberkesanan vaksin itu lebih cepat berkurangan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata sejak minggu epidemiologi ke-35 hingga ke-45, negara ini melihat kenaikan jumlah pesakit kategori empat dan lima Covid-19 dalam kalangan penerima Sinovac.
“Walaupun Sinovac berkesan, ada bukti menunjukkan keberkesanannya cepat berkurangan.
“Kemasukan ke Hospital Sungai Buloh ialah kategori empat dan lima. Ini sebabnya kami mahu anda terima apa juga penggalak yang ditawarkan,” katanya di Twitter.
Pesakit satu adalah mereka yang tidak bergejala, kategori dua mengalami gejala ringan sementara pesakit kategori tiga alami pneumonia.
Pesakit kategori empat memerlukan oksigen tambahan sementara kategori lima ialah mereka yang diberikan alat bantuan pernafasan.
Pada masa ini, penerima vaksin Sinovac akan menerima suntikan penggalak dalam jangka masa tiga bulan sementara selang masa untuk AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech ialah enam bulan.
Pada minggu ke-35 epidemiologi, Hospital Sungai Buloh merawat 46 pesakit kategori empat dan lima yang menerima vaksin Sinovac.
Angka it uterus meningkat, mencecah 125 pesakit pada minggu ke-41 dan 165 pesakit pada minggu ke-45.
Sebagai perbandingan, penerima vaskin AstraZeneca menunjukkan jumlah kemasukan ke hospital paling rendah untuk kategori empat dan lima, diikuti penerima Pfizer-BioNTech.
Data CovidNow setakat malam tadi menunjukkan, Malaysia memberikan 1.4 juta suntikan penggalak.
Malaysia memberikan vaksin Pfizer-BioNTech kepada 53.5% daripada populasi, 38.3% terima Sinovac, 7.8% penerima AstraZeneca sementara 0.4% menerima dos tunggal Cansino. – 20 November, 2021.
Komen