PERLINDUNGAN terhadap virus Covid-19 berkurang dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas pengambilan vaksin, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), memetik dapatan satu kajian.
JKJAV berkata The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination Under PICK atau RECoVaM pada September lalu menjalankan kajian bagi menilai sama ada keberkesanan vaksin bagi mereka yang divaksinasi pada April hingga Jun lebih rendah daripada bagi mereka yang divaksinasi pada Julai hingga Ogos.
“Berdasarkan kajian RECoVaM adalah didapati bahawa perlindungan terhadap Covid-19 berkurangan dalam tempoh 3 hingga 5 bulan selepas divaksin.
“Dapatkan dos penggalak untuk perlindungan optimum,” kata JKJAV di Facebook.
Kajian RECoVaM itu menggunakan pendekatan regresi binomial negatif dan logistik (mengambil kira umur dan demografi pada peringkat kumpulan dan individu), tambahnya.
Makluman JKJAV itu disertakan bersama carta keberkesanan vaksin membabitkan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac.

Berdasarkan carta tersebut, vaksin Sinovac 76% berkesan mencegah jangkitan Covid-19 dalam tempoh dua bulan pertama selepas pengambilan vaksin, tetapi terus merosot kepada 28% selepas tiga hingga lima bulan kemudian.
Berbanding Pfizer, vaksin itu berkesan memberi perlindungan sebanyak 89% dalam tempoh dua bulan pertama, kemudian susut kepada 68% selepas tiga hingga lima bulan.
Bagi kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) pula, keberkesanan Sinovac mencegah kes kritikal menurun daripada 55% kepada 28% bagi temph sama, manakala Pfizer merosot daripada 86% kepada 79%.
Dalam mencegah kematian akibat Covid-19, keberkesanan Sinovac berkurang daripada 79% kepada 76%, sementara Pfizer kekal 91% sehingga lima bulan. – 23 November, 2021.
Komen