Peguam selar cadangan Mufti Perak untuk naikkan taraf Mahkamah Syariah


Bede Hong

PEGUAM hari ini mengutuk cadangan Mufti Perak Harussani Zakaria yang mencadangkan agar kerajaan negeri membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri suapaya ia setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Harussani berkata peruntukan Mahkamah Syariah perlu diluaskan supaya memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan, tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja.

Kenyataan beliau hampir senada dengan presiden Persatuan Peguam Islam Zainul Rijal Abu Bakar semalam yang berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes penukaran agama anak M. Indira Gandhi “akan digunakan sebagai alasan” kerajaan untuk memperkenalkan semula klausa 88A Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, yang ditolak oleh masyarakat Islam. 

Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata keputusan itu patut hanya terpakai kepada orang Islam, dengan “mempertimbangkan” kehadiran bukan Islam untuk hadir ke Mahkamah Syariah.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam oleh bekas suaminya sebagai batal dan tidak sah, justeru menamatkan rentetan naik turun mahkamah Indira selama sembilan tahun.

Pakar perundangan berkata cadangan Harussani dan Zainal Rijal itu tidak berdaya maju dari sudut perlembagaan.

“Harussani dan Zainal Rijal perlu diajar mengenai undang-undang perlembagaan,” kata ahli jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam Surendra Ananth.

“Kedua telapak tangan saya sedia terbuka untuk mengajar mereka mengenai undang-undang perlembagaan,” kata Surendra yang kini sedang menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang undang-undang hak asasi manusia antarabangsa di Universiti Oxford.

Tambah Surendra, walaupun kerajaan negeri boleh memberikan bidang kuasa Mahkamah Syariah, ia hanya boleh terlaksana melalui batas sempit Perkara 1 senarai undang-undang tubuh negeri dan tidak dapat meningkatkan bidang kuasa mahkamah di luar Perkara 1 itu.

“Tidak seperti Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah tidak ada kuasa. Ia hanya boleh melaksanakan apa yang Perkara 1 senarai undang-undang negeri benarkan. Tak lebih dari itu.

“Oleh itu, Mahkamah Syariah hanyalah tribunal rendah yang boleh terhapus bila-bila masa, jika kerajaan negeri mahukan (ianya terhapus),” katanya.

Sebaliknya, Mahkamah Sivil adalah badan perlembagaan.

“Ia ada bidang kuasa untuk menilai semua badan awam, termasuklah Parlimen dan (cabang) eksekutif. Ia adalah penjaga perlembagaan,” kata Surendra.

Tambahnya lagi, kewujudan kuasa mahkamah tidak boleh dibuang atau dihadkan oleh mana-mana badan, termasuklah Parlimen.

Katanya, kebebasan mahkamah “diperlukan dalam sebuah demokrasi yang berfungsi.”

“Oleh itu, sebarang percubaan untuk meletakkan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil terang-terang tidak berperlembagaan.

“Malah penggubalan Perkara 1 senarai kerajaan negeri untuk membenarkan kerajaan negeri berbuat demikian (meletakkan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil) adalah tidak berperlembagaan kerana ia melanggar struktur asas perlembagaan.”

Dalam pada itu, timbalan pengerusi jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam Lim Wei Jiet berkata, walaupun secara teknikalnya boleh untuk menggubal perlembagaan negeri, namun semua keputusan Mahkamah Syariah terikat dengan Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung sama ada boleh atau tidak secara perlembagaannya menggubal perlembagaan Perak untuk membolehkan ianya setaraf, Lim berkata: “Sekali pandang, nampak macam boleh. Kuasa untuk menggubal Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya bergantung pada badan perundangan negeri seperti termaktub dalam senarai negeri di bawah Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam perlembagaan dan hak asasi manusia itu berkata badan perundangan negeri boleh untuk meluluskan enakmen atau meminda perlembagaan negeri untuk menyerap sebarang peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah.

“Tapi, yang paling penting adalah ini, dan dengan hormatnya, cadangan Mufti Perak untuk meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri tidak sama sekali meninggikan kuasa Mahkamah Syariah.

“Ia tak penting sama ada kuasa atau bidang kuasa Mahkamah Syariah boleh ditemui dalam perlembagaan negeri atau enakmen negeri,” kata Lim.

Lim berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin, “tidak kira bagaimana dan di mana ia termaktub,” bermaksud yang Mahkamah Syariah:

i) tidak boleh melaksanakan kuasa Mahkamah Sivil

ii) terbatas kepada hal perkara dan orang dalam senarai negeri; dan,

iii) mesti diperuntukkan di bawah undang-undang negeri yang berkaitan.

“Dan, tiga prinsip ini termaktub dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Mana-mana perlembagaan negeri tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara ini.” – 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kita tidak boleh menafikan bahawasa nya perlembagaan terbagi pada dua syariah

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Abdul Rahman Abdul Razak · Ulasan

  • Kita harus peka dan dapat membezakan bahawasa nya pelembagaan syariah tertakluk pada fatwa dan Al Quran sedangkan pelembagaan sivil ia nya tertakluk pada pelembagaan serta undang2 negara. Dari itu menaiktaraf mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil adalah satu cadangan yang kurang bijak serta tidak masuk akal atas dasar pencadang kurang peka dgn pelembagaan negara yang mempratikan sistem demokerasi.





    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Abdul Rahman Abdul Razak · Ulasan