Mahkamah putuskan penukaran agama 3 anak Indira Gandhi ‘batal dan tidak sah’


Noel Achariam

Guru tadika M. Indira Gandhi (tengah) bersama peguam dan ahli keluarganya ketika di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini selepas mahkamah memutuskan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam sebagai batal dan tidak sah kerana memerlukan persetujuan kedua ibu bapa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Januari, 2018.

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi kepada agama Islam oleh bekas suaminya sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali.

Hakim Zainun Ali yang membacakan ringkasan keputusan itu berkata bahawa penukaran agama kanak-kanak itu perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.

“Persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu ditunjukkan. Artikel ini tidak boleh ditafsirkan secara harfiah. (Ia) memerlukan persetujuan kedua ibu bapa. 

“Perkataan ‘ibu bapa’ dalam perlembagaan kerap disalah tafsir. Kedua ibu bapa ada hak yang saksama.”

Hakim Zainun berkata, keputusan sebulat suara itu mengetengahkan isu sama ada Mahkamah Tinggi sivil mempunyai kuasa eksklusif mengkaji Pendaftar Muallaf dan berpendapat ianya ada berlaku.

Pendaftar Muallaf adalah badan berkanun dengan kuasa ditetapkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

“Setelah berbincang struktur perlembagaan, terbukti dua mahkamah (syariah dan sivil) beroperasi di landasan yang berbeza.

“Kuasa untuk mengkaji semula terletak pada mahkamah sivil. Bidang kuasa untuk mengkaji tindakan pihak berkuasa bergantung pada mahkamah sivil,” katanya.

Zainun berkata, perayu yang bukan Islam dan tidak boleh hadir di Mahkamah Syariah, tidak mampu untuk mendengarkan permohonannya.

“Kesimpulannya, Mahkamah Tinggi mempunya bidang kuasa. Kanak-kanak itu tidak hadir (ketika tukar agama) dan keadaan mereka tidak sepenuhnya dipenuhi. Jadi, Pendaftar (Muallaf) tidak ada kuasa.

“Kesimpulannya adalah kedua ibu bapa perlu memberi persetujuan sebelum memohon tukar agama dan Pendaftar Muallaf tidak ada kuasa untuk mengisukan sijil penukaran (agama). Penukaran itu batal dan tidak sah,” katanya.

M. Indira Gandhi tersenyum ketika bercakap kepada pihak media selepas keluar dari kamah mahkamah.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Januari, 2018.

Hakim tidak terpengaruh dengan agama sendiri

Zainun membacakan keputusan ringkas panel hakim memandangkan keputusan penuh setebal 99 muka surat.

“Isu penukaran agama ini isu yang kontroversi, di mana ianya dibincangkan di ruang awam.

“Perlu kami tegaskan di sini, sebagai hakim, kami tidak terpengaruh dengan sentimen agama kami sendiri. Kami sebagai hakim tidak boleh (terpengaruh) sebagai Melayu, Cina atau pun India. (Kami telah) cuba untuk tidak berat sebelah dalam mana-mana agama,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Indira M. Kulasegaran berkata keputusan itu menunjukkan yang mahkamah sivil boleh mendengar perkara-perkara yang salah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Ini (juga) untuk semua orang yang mana berlaku kesalahan dalam penukaran agama, (jadi) hadir ke mahkamah sivil untuk selesaikan.

“Paling penting adalah sabar. Buat masa ini, (kedua) ibu bapa (perlu sabar).

“Hakim Lee Soon Seng dah kata beberapa tahun dahulu di Ipoh yang persetujuan kedua ibu bapa diperlukan bila nak tukar agama.

“Selama sembilan tahun kami harungi perkara ini. Inilah keputusan muktamad yang diputuskan hari ini,” katanya.

Kulasegaran yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat mengangkat isu ini di Parlimen kerana tidak ada “tulang belakang” untuk memperkenalkan undang-undang supaya kedua ibu bapa mempunyai hak untuk menentukan penukaran agama anak.

“Hari ini, mengejutkan yang Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan yang mana wakil rakyat negara ini gagal (lakukan),” tambahnya.

Kulasegaran merujuk kepada langkah Putrajaya Ogos lalu untuk menarik balik rang undang-undang bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, setelah beberapa tahun perkara itu dilobi oleh masyarakat sivil.

Rang undang-undang itu mengandungi pindaan yang memperuntukan bahawa perkahwinan yang mana pasangannya menukar agama, diselesaikan di mahkamah sivil. – 29 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen