Apa yang kita tahu tentang Ismail Sabri dan penasihat khasnya


Raevathi Supramaniam

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melantik beberapa penasihat khas untuk menasihatinya mengenai kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob yang dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos lalu membentuk barisan kabinet dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri bagi membantu beliau mentadbir negara.

Beliau juga meneruskan gaya awal pendahulunya Muhyiddin Yassin yang tidak mempunyai timbalan perdana menteri, sebaliknya memilih untuk mempunyai empat menteri kanan.

Bagaimanapun sejak pelantikannya, beliau juga telah melantik beberapa penasihat khas untuk menasihatinya mengenai kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia.

Dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad pada 10 November lalu, beliau berkata kos penggajian penasihat Ismail Sabri menelan belanja RM50,000 sebulan.

Beberapa ahli Parlimen mempersoalkan keputusan Ismal Sabri melantik penasihat khas sedangkan beliau sudah pun melantik menteri untuk portfolio masing-masing.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menuduh perdana menteri melantik individu berdasarkan kehendak dan kemahuan beliau ketika negara masih bergelut dengan pemulihan ekonomi daripada pelbagai sekatan untuk mengekang penularan Covid-19.

The Malaysian Insight melihat dengan lebih dekat penasihat yang dilantik Ismail Sabri dan peranan mereka dalam pentadbirannya.

Penasihat khas undang-undang dan hak asasi

Azalina Othman Said dilantik sebagai penasihat khas undang-undang dan hak asasi kepada Ismail Sabri pada September.

Dalam catatan di Facebook, bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata beliau menerima watikah pelantikannya pada 30 September lalu.

Ahli Parlimen Pengerang itu meletak jawatan sebagai timbalan speaker pada 23 Ogos sebagai tanda kekecewaan terhadap kekurangan reformasi Parlimen.

Bekas peguam itu secara lantang menyuarakan keperluan reformasi Parlimen dan Pejabat Peguam Negara bagi pengasingan kuasa pendakwaan.

Peletakan jawatannya dibuat selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, menggantikan Muhyiddin.

Penasihat khas agama

Jamil Khir Baharom dilantik sebagai penasihat khas agama. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila beliau dilantik memegang jawatan itu.

Pengerusi badan perhubungan Umno Kedah itu memegang jawatan menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) dalam kerajaan Barisan Nasional dari 2008 hingga 2018.

Beliau dilantik sebagai Senator di Dewan Negara pada 2009 dan menyertai kabinet Najib Razak. Pada pilihan raya 2013, beliau bertanding di Jerai dan menang, tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya 2018.

Terdapat beberapa kontroversi yang menyelubungi Jamil, kebanyakannya berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana.

Pada 2011, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menuduh Jamil menggunakan dana zakat untuk membeli rumah untuk keluarganya.

Jamil bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu. Kemudian pada 2015, seorang aktivis mendakwa beliau menggunakan dana daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan membeli-belah dan bermain golf ke Amerika Syarikat.

Beliau sekali lagi menafikan tuduhan itu, sambil menyatakan kehadirannya bukan atas tujuan rekreasi.

Penasihat khas kesihatan

Sementara itu, Latiff berkata Ismail Sabri mempunyai penasihat khas berkaitan kesihatan, namun beliau tidak mendedahkan identiti individu itu dan Ismail Sabri tidak mengumumkan secara terbuka siapa penasihat khasnya.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, jawatan ini disandang Dr Jemilah Mahmood. Tiada maklumat lanjut sama ada beliau dikekalkan.

Penasihat ekonomi PMO

Bukan penasihat ekonomi perdana menteri, tetapi Shahril Hamdam dilantik sebagai pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut laman web peribadinya, Shahril yang juga ketua Pemuda Umno memperoleh ijazah dalam bidang ekonomi dari Universiti Manchester pada 2008 tajaan Bank Negara Malaysia.

Ketua penerangan Umno itu juga sebelum ini bekerja untuk firma perunding McKinsey dan syarikat selama tiga tahun dan merupakan pegawai polisi Khairy Jamaluddin semasa menjadi menteri belia dan sukan.

Sebelum pelantikannya, spekulasi bertiup kencang bahawa bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan bersalah akan dilantik sebagai penasihat ekonomi Ismail Sabri. – 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen