PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya menggantikan tiga penasihat khasnya dengan penasihat ekonomi yang berkelayakan berikutan kejatuhan ringgit, kata ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng hari ini.
Lim berkata pandemik Covid-19 menjejaskan ekonomi negara dengan teruk dan Ismail Sabri tidak sepatutnya melantik orang mengikut kehendaknya.
“Inflasi menjatuhkan nilai ringgit Malaysia menyebabkan kenaikan harga barang.
“Justeru sekiranya ada apa-apa, Ismail Sabri harus menggantikan ketiga-tiga penasihat dengan pasukan penasihat ekonomi yang berkelayakan untuk membantu kerajaan membawa negara kembali ke landasan semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kepong itu memberi maklum balas terhadap pelantikan seorang lagi penasihat perdana menteri.
Lim mempersoalkan kecekapan menteri Kabinet Ismail Sabri jika beliau terpaksa terus melantik penasihat khas.
“Kenapa perdana menteri perlu melantik tiga penasihat, masing-masing memakan kos RM50,000 sebulan, sedangkan sudah ada menteri yang menasihatinya mengenai agama, kesihatan dan undang-undang serta hak asasi manusia.
“Adakah Ismail tidak mempercayai menteri Kabinetnya untuk memberikan maklum balas yang dia perlukan atau adakah mereka dianggap tidak cekap,” soal Lim.
Jika memang Ismail tidak boleh lagi mempercayai rakan-rakannya, beliau boleh memanggil pegawai lain, tambah Lim.
Yang terbaru dilantik ialah Ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom yang kini merupakan penasihat khas agama kepada perdana menteri.
Jamil sebelum ini memegang jawatan menteri hal ehwal agama dalam kerajaan Barisan Nasional dari 2008 hingga 2018.
Lim berkata adalah tidak masuk akal melantik Jamil apabila hanya tiga bulan selepas Senator Idris Ahmad dilantik sebagai menteri hal ehwal agama.
“Sekiranya dia tidak boleh mempercayai Idris lagi kerana dari PAS, perdana menteri harus menggantikannya dengan Jamil.
“Perdana menteri dan Idris berhutang penjelasan kepada orang ramai kerana ia melibatkan banyak wang pembayar cukai setiap bulan hanya untuk mengekalkan dua jawatan utama terutamanya ketika orang ramai cuba mencari sumber pendapatan,” katanya.
Sebelum pelantikan Jamil bulan lepas, Ismail melantik bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said sebagai penasihat khas bagi undang-undang dan hak asasi manusia.
Setiap penasihat perdana menteri memakan kos RM50,000 sebulan, menurut jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Abdul Latiff Ahmad kepada Dewan Rakyat pada 10 November.
Latiff juga mengumumkan Ismail mempunyai penasihat khas kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia.
Walaupun penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia serta agama sudah didedahkan kepada umum, masih tidak jelas siapa penasihat khas kesihatan.
Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Dr Jemilah Mahmood di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. Tidak jelas sama ada beliau masih dikekalkan. – 28 November, 2021.
Komen