Azalina dilantik penasihat khas PM


Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dilantik sebagai penasihat khas undang-undang dan hak asasi kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar Facebook, 2 Oktober, 2021.

AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dilantik sebagai penasihat khas undang-undang dan hak asasi kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas timbalan yang dipertua Dewan Rakyat itu berkata beliau menerima surat pelantikan pada Khamis lepas.

Beliau mengesahkan laporan berita portal Free Malaysia Today di Facebook hari ini dan mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan diberikan Ismail Sabri.

“InsyaAllah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara,” tambahnya lagi.

Azalina meletak jawatan sebagai timbalan speaker pada 23 Ogos lalu dan meluahkan kekecawaan kerana kurangnya pembaharuan Parlimen dilakukan.

Bekas peguam itu dikenali sebagai wakil rakyat yang lantang mendesak pelbagai pembaharuan dilaksanakan di Parlimen dan memisahkan kuasa pendakwaan daripada pejabat peguam negara.

Beliau meletak jawatan selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin meletak jawatan selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen disebabkan 14 orang wakil rakyat Umno, termasuk Azalina, menarik kembali sokongan diberikan kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Antara wakil rakyat Umno yang menarik sokongan kepada Muhyiddin dan dilantik ke jawatan baharu oleh Ismail Sabri ialah Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau dilantik sebagai pengerusi Felcra Bhd awal minggu ini.

Ketika pentadbiran Muhyddin, Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia tetapi meletak jawatan pada Januari lepas kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PN. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen