KKM tingkat pengawasan terhadap varian Omicron, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata selain mengehadkan kemasukan pelancong dari beberapa negara, KKM akan meningkatkan pengawasan genomik dan mempercepatkan dos penggalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2021.

BIMBANG dengan kemunculan varian baharu Covid-19 Omicron, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan pengawasan genomiknya dan mempercepatkan pemberian dos penggalak sebagai langkah melindungi orang ramai dari virus berkenaan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan itu berkata ini adalah langkah tambahan yang diambil selain melarang sementara kemasukan semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara Afrika.

“Selain mengehadkan kemasukan pelancong dari beberapa negara, KKM akan meningkatkan pengawasan genomik dan mempercepatkan dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Orang ramai dinasihatkan memakai topeng muka, elak tempat sesak dan amalkan TRIIS (uji, lapor, asingkan, malum, cari),” kata Khairy menerusi Twitter hari ini.

Tiada kes Omicron dikesan di Malaysia, kata Khairy. 

Semalam Khairy berkata Malaysia akan menyekat sementara kemasukan semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam tempoh 14 hari terakhir.

Khairy berkata warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang akan dibenarkan pulang dan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun mereka perlu menjalani kuarantin mandatori 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan varian Omicron, pertama kali dikesan di selatan Afrika sebagai varian yang membimbangkan.

Klasifikasi itu meletakkan Omicron dalam kategori varian Covid-19 yang paling membimbangkan, bersama Delta, Alpha, Beta serta Gamma.

Ketika ini dunia bergegas membatalkan penerbangan bagi memperlahankan penularan Omicron, manakala pasaran saham dan harga minyak menjunam berikutan kebimbangan mengenai varian itu, yang berpotensi memberi tamparan hebat kepada pemulihan ekonomi global.

Setakat ini tiga negara melaporkan kes berkaitan varian baharu itu.

Mereka ialah Afrika Selatan dengan 77 kes, Botswana (empat kes) dan Hong Kong (2 kes). – 27 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen