Omicron nama baharu varian yang sedang tular


Omicron kini diletakkan dalam kategori varian Covid-19 yang paling membimbangkan, bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma. – Gambar EPA, 26 November, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat mengisytiharkan strain B.1.1.529 Covid-19 yang dikesan di selatan Afrika, sebagai varian membimbangkan (VOC), menamakannya Omicron.

Klasifikasi itu meletakkan Omicron dalam kategori varian Covid-19 yang paling membimbangkan, bersama Delta, Alpha, Beta serta Gamma.

Ketika ini dunia bergegas membatalkan penerbangan bagi memperlahankan penularan Omicron, manakala pasaran saham dan harga minyak menjunam berikutan kebimbangan mengenai varian itu, yang berpotensi memberi tamparan hebat kepada pemulihan ekonomi global.

“Bukti menunjukkan perubahan yang memudaratkan dalam epidemiologi Covid-19… WHO telah menetapkan B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC), bernama Omicron,” kata WHO.

Agensi kesihatan PBB itu berkata ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk menyelesaikan kajian Omicron bagi melihat sama ada terdapat sebarang perubahan dalam kebolehjangkitan, keterukan atau implikasi terhadap vaksin, ujian dan rawatan Covid. 

Dalam pada itu WHO turut menggesa negara di rantau Asia Tenggara menangani masalah kekurangan aktiviti fizikal bagi membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Dianggarkan 8.5 juta kematian dilaporkan di rantau ini setiap tahun akibat NCD.

Pengarah Serantau Asia Timur WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh berkata, ketika ini, 15 peratus dewasa dan 74 peratus remaja berumur 11 hingga 17 tahun di Asia Tenggara tidak melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti disarankan.

“Aktiviti fizikal dapat membantu mencegah penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan beberapa jenis kanser, yang terus menjadi pembunuh utama di rantau ini dan  risiko penyakit yang teruk dan kematian akibat Covid-19 yang sedang melanda,” katanya dalam satu kenyataan semalam seperti dipetik Bernama.

Justeru, negara dan komuniti mesti menyediakan lebih banyak ruang serta peluang kepada masyarakat untuk lebih aktif secara fizikal terutamanya ketika sekatan pergerakan dan bekerja dari rumah menjadi antara penyumbang kepada gaya hidup tidak aktif.

Sejak 2014, WHO telah menyokong program aktiviti fizikal sebagai satu daripada langkah pencegahan utama dan terbaik untuk mencegah NCD. – Agensi, 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen