Penduduk Kedah fail semakan kehakiman keputusan MB haram kedai judi


Alfian Z.M. Tahir

Ramkarpal Singh yang membantu Liew Han Eng dan tiga lain berkata mereka akan serahkan semua dokumen kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat, berharap dapat tarikh awal perbicaraan untuk kebenaran semakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2021.

PENDUDUK Kedah telah mengambil tindakan perundangan di Mahkamah Tinggi Alor Star berhubung keputusan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak memperbaharui lesen kedai nombor ekor di negeri itu.

Dibantu oleh Ramkarpal Singh yang mengetuai Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Liew Han Eng dan tiga yang lain memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada Khamis.

“Ia difailkan oleh Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Khamis dan disokong oleh afidavit plaintif yang merupakan penduduk Alor Setar dan pernah mengambil bahagian dalam aktiviti perjudian berlesen sebelum ini,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

“Mereka akan berhadapan, antara lain, keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak perbaharui lesen judi adalah ultra vires (melangkaui) Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa untuk mengeluarkan lesen itu adalah secara eksklusif dalam bidang kuasa Parlimen.”

Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah Liew dan tiga yang lain akan berhujah yang keputusan Sanusi itu tidak munasabah dan boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas permohonan untuk semakan kehakiman.

“Semua dokumen akan diserahkan kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan kami harap dapat tarikh awal perbicaraan untuk kebenaran di Mahkamah Tinggi Alor Setar.”

Sanusi menimbulkan kontroversi baru-baru ini selepas mengumumkan Kedah tidak akan memperbaharui lesen kedai nombor ekor, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata keputusan itu akan berkuat kuasa mulai tahun depan, menambah langkah itu akan membendung ketagihan judi. Ketika mengumumkan keputusannya, Sanusi berkata jika ingin berjudi boleh pergi beli di Pulau Pinang.

Tindakan Kedah itu mendapat kritikan hebat pemimpin pembangkang seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sama ada pengharaman kedai judi dan melarang penjualan arak kepada bukan Islam adalah dasar baharu di bawah slogan Keluarga Malaysia.

Lim membuat spekulasi keputusan tergesa-gesa itu mungkin dibuat untuk membantu calon PAS dalam pilihan raya negeri Melaka. – 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen