Kedah akan haramkan kedai nombor ekor, lapor media


SEMUA kedai nombor ekor tidak akan dibenarkan beroperasi di Kedah bermula tahun depan, kata menteri besarnya Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai usaha membendung aktiviti perjudian di negeri itu.

Sanusi dipetik media berkata susulan itu pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan.

Langkah sama turut dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, yang juga dibawah pentadbiran PAS.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat, saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai.

“Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya, seperti dipetik portal FMT pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah hari ini. 

Kerajaan negeri juga katanya memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua daerah, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan. – 14 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen