DAP gesa PM, kabinet terang pengharaman kedai judi, arak di Kedah


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Lim mendakwa pusat perjudian dan penjualan arak menjadi sasaran alat politik bagi mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan negeri Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2021.

DAP hari ini menuntut penjelasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan para menteri bukan Islam berhubung pengharaman kedai nombor ekor dan penjualan arak di Kedah.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata menteri MCA, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan MIC juga perlu jelaskan adakah pengharaman tersebut adalah dasar baharu Keluarga Malaysia.

Beliau turut berkata PAS sepatutnya berbincang dengan MCA, MIC dan masyarakat Cina untuk faham tentang kerugian yang akan ditanggung akibat keputusan mengejut dan tergesa-gesa itu.

“Atau adakah MCA dan MIC sokong keputusan dasar yang tergesa-gesa oleh Kedah itu? Orang bukan Islam sekali lagi akan rasa mereka mangsa kepada keputusan terbaharu yang mengganggu amalan perniagaan dan gaya hidup mereka yang sebelum ini tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Menteri Keluarga Malaysia, MCA, MIC dan GPS perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dasar pelampau PAS ini,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian mengulas keputusan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak akan memperbaharui lesen perniagaan semua kedai judi di negeri tersebut, sekali gus mengharamkan dari beroperasi.

Sanusi berkata kerajaan negeri juga katanya memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua daerah, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

Beliau berkata keputusan itu akan berkuat kuasa mulai tahun depan, menambah langkah itu akan membantu menangani ketagihan berjudi.

Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu dilaporkan turut membuat keputusan sama.

Lim berkata pusat perjudian dan penjualan arak menjadi sasaran alat politik bagi mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan negeri Kedah.

“Dengan membuli minoriti, menteri besar Kedah merasakan beliau boleh melaba manfaat politik maksimum dengan kos politik minimum. Orang bukan Islam tidak faham kenapa mereka diketepikan sedangkan mereka menjual kepada bukan Islam, terutamanya apabila orang Islam dilarang daripada mengunjungi kedai-kedai ini,” katanya.

Lim berkata kerajaan boleh kenakan denda kepada pengusaha kedai judi yang menerima orang Islam. Mengharamkan aktiviti seperti itu hanya akan dilihat sebagai percubaan PAS untuk memaksa nilai pelampaunya terhadap bukan Islam yang bertentangan dengan kepelbagaian dan masyarakat majmuk.

“Mengapa campur tangan dalam gaya hidup dan amalan perniagaan yang kekal tidak terganggu sejak Merdeka?” soalnya.

Lim membuat spekulasi keputusan tergesa-gesa itu mungkin dibuat untuk membantu calon PAS dalam pilihan raya negeri Melaka. – 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen