Buat SOP lebih ketat untuk PRN Melaka, kata bekas ahli Parlimen PKR


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

KERAJAAN perlu laksana prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika tidak mahu akibat sama berulang berikutan PRN Sabah tahun lepas, kata Steven Choong.

Bekas ahli Parlimen PKR Tebrau itu turut menyalahkan ahli politik kerana mencetuskan PRN setelah berpaling tadah dari parti mereka.

“Kita harus letak kesihatan rakyat sebagai agenda utama. Malangnya, kepentingan diri jadi punca PRN di Melaka,” kata Choong di Dewan Rakyat hari ini. Beliau kini merupakan ahli Parlimen bebas.

PRN Melaka dibuat selepas empat Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober.

“Jadi, saya mahu cadangkan SOP yang lebih ketat untuk pilihan raya negeri Melaka,” kata Choong, yang keluar dari PKR untuk menyokong bekas perdana menteri dan presiden Beratu Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) tahun ini.

Katanya kerajaan perlu melarang sebarang perhimpunan penyokong pada hari penamaan calon (8 November) dan mengehadkan jumlah pengundi di tempat mengundi pada 20 November bagi memastikan penjarakkan sosial dapat dilaksanakan di tempat mengundi.

“Perlu ada larangan sepenuhnya terhadap ‘pondok panas’ semasa hari pengundian,” kata Choong.

Choong, yang membahas pembatalan ordinan darurat hari ini, merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang menyokong SOP ketat kerajaan untuk PRN Melaka.

Sebelum ini ahli Parlimen Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mempersoalkan larangan kerajaan yang diumumkan semalam.

“Kerajaan tidak sepatutnya jadikan varian Delta sebagai alasan untuk larang perhimpunan di Melaka sebab ada pilihan raya. Laman web Kementerian Kesihatan ada sebut, susah untuk varian Delta jangkiti individu yang sudah divaksin,” kata Ahmad Maslan.

“Ia sebut gejala bagi individu yang divaksinasi akan ringan berbanding dengan yang tidak divaksinasi. Kalau begitu, kenapa perlu larang semua aktiviti.

“Kerajaan harus pertimbang semula larangan ini,” kata setiausaha agung Umno.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan untuk sebarang aktiviti, perarakan atau perhimpuan sosial berkaitan PRN Melaka diadakan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu mula berkuat kuasa hari ini sehingga 27 November.

Katanya keputusan itu dibuat memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi dan peningkatan kes baharu yang dilaporkan.

Tegasnya, aktiviti himpunan sosial akan meningkatkan kebolehjangkitan virus itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berasaskan sub peruntukan 10 (1) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen