KKM haramkan himpunan dan aktiviti massa menjelang PRN Melaka


Makluman larangan semua perhimpunan massa menjelang PRN Melaka dikeluarkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebentar tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengeluarkan larangan untuk sebarang aktiviti, perarakan atau perhimpuan sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan itu berkata larangan akan berkuatkuasa mulai esok, 25 Oktober hingga 27 November.

PRN Melaka dijangka berlangsung pada 20 November.

Khairy berkata keputusan itu dibuat memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi dan peningkatan kes baharu yang dilaporkan.

Tegasnya, aktiviti himpunan sosial akan meningkatkan kebolehjangkitan virus itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berasaskan sub peruntukan 10 (1) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sub peruntukan itu menyatakan yang “tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa yang ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.”

Kenyataan turut menyebut yang larangan itu adalah selaras dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan dibuat di bawah SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional yang terbaru.

SOP terbaru itu menetapkan yang sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang menyebabkan orang ramai sukar mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan termasuk keperluan penjarakan sosial adalah dilarang sama sekali.

“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya lagi.

Kerajaan Melaka tumbang selepas empat orang Adun menarik sokongan mereka untuk kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional diketuai Umno.

Penarikan sokongan yang berlaku pada 4 Oktober lepas itu diketuai orang kuat Umno Idris Haron (Sg Udang-BN) dan disokong Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-PN).

Gabenor Melaka kemudiannya mengumumkan pembubaran DUN dengan 28 kerusi itu, membuka jalan untuk pilihan raya negeri diadakan pada 20 November depan. – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen