4 Adun Melaka tarik sokongan kepada ketua menteri


Mohd Farhan Darwis

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali hilang kepercayaan daripada empat Adun hari ini yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinannya. – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2021.

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka hari ini menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Mereka diketuai Adun Sungai Udang Idris Haron dari Umno, yang juga bekas ketua menteri Melaka antara 2013 hingga 2018. 

Tiga yang lain ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-Umno).

“Kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan hari ini,” kata Idris, semasa sidang media di Melaka, hari ini.

Idris juga berkata kesemua Adun yang bersamanya akan mencari jalan untuk membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk, selepas hilang majoriti hari ini.

“(Keputusan) kami berempat hari ini menandakan kerajaan sudah defisit sokongan.

Pembangkang ada 11 orang tak sokong kerajaan tambah empat menunjukkan kerajaan hilang majoriti,” kata Idris.

Susulan tindakan mereka, pentadbiran Sulaiman mempunyai 13 daripada 28 kerusi di DUN Melaka.

Kerajaan Melaka kini terdiri daripada 12 Adun Barisan Nasional dan seorang Adun Bersatu, sementara 11 Adun pembangkang terdiri daripada 7 DAP, 2 PKR, dan 2 Amanah.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dalam satu reaksi segera berkata pihaknya mengambil maklum perkembangan di Melaka.

“Pimpinan tertinggi Bersatu akan membincangkan perkembangan ini dengan segera dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh parti,” katanya. β€“ 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen