Bahas Pandora Papers di Dewan Rakyat segera, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam suratnya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata Pandora Papers yang didedahkan ICIJ perlu dibahaskan dalam sidang hari ini kerana ada kemungkinan urus niaga kewangan melibatkan ahli politik Malaysia. – Gambar ICIJ, 4 Oktober, 2021.

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim telah mengirim usul kecemasan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun agar membahasakan Pandora Papers yang mendedahkan beberapa tokoh terkemuka Malaysia dengan akaun amanah luar pesisir.

“Saya menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara,” kata Anwar.

Antara nama yang disenaraikan ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas timbalan perdana menteri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Parlimen PKR Selayang William Leong.

Anwar berkata ini adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia menamakan ahli politik dari kedua belah pihak.

“Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya.

Anwar dalam suratnya kepada Azhar berkata perkara itu perlu dibahaskan dalam sidang hari ini kerana ada kemungkinan urus niaga kewangan melibatkan individu di atas mungkin melanggar undang-undang.

Tambahnya kerajaan perlu segera menanggapi masalah tersebut bagi membersihkan nama negara terhadap tuduhan yang ia mungkin melindungi mana-mana individu yang berpotensi terlibat dalam kesalahan kewangan.

Individu yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sekarang juga turut terlibat, tambah Anwar.

Katanya, ini juga akan dapat beri peluang kepada individu tersebut untuk menjawab.

Pandora Papers fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte yang didedahkan oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Pendedahan itu mengandungi lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain dari 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan shell company dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia

Tengku Zafrul, Zahid dan Daim telah menjawab tuntutan tersebut. – 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen