Zahid sedia disiasat berhubung syarikat luar pesisir disebut dalam Pandora Papers


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersedia untuk disiasat terhadap sebarang kesalahan melibatkan akaun luar negara miliknya di Kepulauan Virgin Britain seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersedia untuk disiasat terhadap sebarang kesalahan melibatkan akaun luar negara miliknya di Kepulauan Virgin Britain (BVI).

“Ia berlaku ketika saya jadi CEO syarikat tersenarai awam,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Syarikat yang saya kepalai itu ada pelaburan di negara besar dan ada konsesi untuk IPP (pengeluar tenaga bebas). Namun, keuntungan tidak dapat dikeluarkan tetapi perlu dilaburkan semula,” kata Zahid.

Beliau berkata syarikat itu mahu bayar dividen kepada pemegang sahamnya.

“Tetapi syarikat berdaftar itu telah ditutup. Oleh itu, jangan buat spekulasi mengatakan saya buat ini untuk elak cukai,” kata bekas timbalan perdana menteri.

Presiden Umno itu menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai sebuah syarikat berkait dengannya yang mempunyai akaun di BVI pada 1990-an.

Nama Zahid muncul dalam Pandora Papers, fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte yang didedahkan oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Pendedahan itu mengandungi lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain dari 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan shell company dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Menurut Malaysiakini, yang mendapat akses Pandora Papers itu dari ICIJ, nama Zahid muncul dalam fail Algocal, yang merupakan ejen Breedon Limited, sebuah syarikat yang berdaftar di BVI.

Breedon ditubuhkan pada September 1996 dengan Zahid dan seorang lagi sebagai pengarah. Pada November tahun sama, nama syarikat diubah menjadi Rising Resources (BVI) Limited.

Pada 1999, syarikat itu mempunyai modal saham AS$50,000, tetapi sifat perniagaan ini tidak dinyatakan.

Dokumen-dokumen dari Algocal menunjukkan syarikat itu “dibatalkan” kerana tidak aktif beberapa tahun selepas penubuhannya. Tidak ada petunjuk mengenai perniagaan yang didirikan, sementara syarikat dengan nama serupa yang didaftarkan di Malaysia tidak berkaitan dengan Zahid.

Sebelum menyertai politik, Zahid merupakan salah seorang pengarah Bank Simpanan Nasional dan Permodalan Nasional Bhd. Beliau juga merupakan CEO Kretam Holdings Bhd. – 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen