Zafrul nafi terbabit syarikat disebut dalam Pandora Papers


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menjelaskan beliau telah melepaskan semua pelantikan sebagai eksekutif dan pengarah dalam Kumpulan Kenanga pada Jun 2010.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menjelaskan beliau telah melepaskan semua pelantikan sebagai eksekutif dan pengarah dalam Kumpulan Kenanga pada Jun 2010, susulan pendedahan laporan siasatan “Pandora Papers” membabitkan pemimpin dunia, ahli politik dan golongan elit terkemuka.

Menteri kewangan itu mengulas artikel bertajuk “Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak”, yang diterbitkan portal Malaysiakini hari ini, berdasarkan maklumat diperoleh dari International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ).

Pandora Papers melibatkan 600 wartawan dari 150 organisasi media termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian. Ia mendedahkan transaksi pemimpin dunia dan golongan elit yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS di dalam pelbagai akaun luar pesisir.

Maklumat yang didedahkan membabitkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir di serata dunia.

Tengku Zafrul disebut sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman Panama terkemuka, Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).

Capital Investment adalah unit pelaburan luar pesisir Kenanga Holdings Bhd. Kumpulan Kenanga menjual kesemua saham bernilai lebih RM6 juta kepada Amanie Corp Advisors Sdn Bhd pada 2014.

“Walaupun pejabat saya ketika dihubungi telah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika saya meninggalkan Kumpulan Kenanga pada bulan Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut dan membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ianya adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga. 

“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam saya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya,” kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini. – 4 Oktober, 2021.  

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen