Lee terburu-buru umum guna logo Pakatan pada PRU15, kata Pemuda PKR


AHLI Parlimen Pasir Pinji Howard Lee sepatutnya tidak terburu-buru mengumumkan logo Pakatan Harapan (PH) akan digunakan parti dalam gabungan itu dalam pilihan raya (PRU) akan datang, kata Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab hari ini.

Syukri berkata Lee sepatutnya menunggu Pakatan Harapan (PH) membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu lebih-lebih lagi Majlis Presiden PH belum memutuskan apa-apa  berhubung isu logo berkenaan.

Beliau berkata pengumuman awal Lee boleh mendatangkan masalah kepada parti dalam gabungan itu terutama apabila ahli PKR meminta logo parti mereka digunakan oleh PH.

“Lee perlu bersikap terbuka dengan pendirian akar umbi Keadilan yang tegas mahukan logo Keadilan dipilih sebagai logo PH pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKR juga memerlukan masa untuk menjelaskan keputusan itu kepada ahli parti kerana ada yang menentangnya, tambahnya.

Beliau memberi maklum balas terhadap desakan akar umbi PKR yang mahukan logo Keadilan dipilih sebagai simbol PH dalam PRU15.

Shukri berkata Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan mempunyai alasan kuat untuk mendesak logo parti itu dikekalkan pada PRU akan datang.

“Logo PKR terbukti mampu meraih sokongan majoriti rakyat Malaysia dalam PRU  lalu. 

“Adalah amat tidak wajar untuk Howard menunggang nama Majlis PH untuk menafikan merit desakan akar umbi PKR. 

“Lebih tidak wajar apabila Howard mendendangkan seolah-olah keputusan dibuat di peringkat Majlis Presiden PH,” katanya.

Dalam temubual dengan The Malaysian Insight Lee daripada DAP dan juga ketua Pemuda PH berkata majlis presiden memutuskan semua pihak harus menggunakan logo gabungan itu pada PRU15.

Shukri juga menyangkal kenyataan Lee, presiden PKR dapat memenangi kerusi Port Dickson yang bertanding dengan logo PH kerana Anwar Ibrahim tokoh terkenal.

“Saya kira hujah ini terlalu mengambil mudah soal strategi pilihan raya yang lebih rumit dan rencam. 

“Malah pelajar sekolah rendah pun boleh faham sosok Anwar merupakan seorang ‘winnable candidate’ walaupun diletakkan di kerusi paling sukar,” katanya.

Majlis presiden harus membuat keputusan berkenaan isu logo berdasarkan fakta dan data, tambahnya. 

“Satu kajian agensi bebas perlu dijalankan terlebih dulu bagi memilih logo terbaik yang akan digunakan sebagai lambang PH pada PRU15. 

“Janganlah semata-mata kerana PH sudah berdaftar dan ada logo, maka logo itu perlu diguna-paksa dalam pilihan raya,” katanya. – 1 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen