SEORANG daripada lima calon dalam pilihan raya umum akan datang harus dipilih dalam kalangan anak muda, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Howard Lee.
Lee berpandangan dengan meletakkan calon muda, politik Malaysia akan menerima nafas baharu di samping memunculkan calon yang lebih bertenaga untuk jadi pilihan pengundi.
“Dua puluh peratus atau satu perlima daripada calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus dipilih daripada kalangan anak muda, dan muka baharu,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
Lee menjelaskan calon muda bermakna mereka yang pertama kali bertanding dan “bukan macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (ahli Parlimen Muar) yang pernah bertanding dan menjadi wakil rakyat.”
“Bakinya mesti calon yang ada keupayaan dalam ekonomi dan isu kesihatan selari dengan situasi semasa dalam negara,” tambahnya.
Lee yang juga ketua Pemuda DAP berkata ada keperluan meletakkan barisan baharu pemimpin muda kerana rakyat sudah muak dan jelak dengan politik.
“Kita perlu gabungkan muka baharu dengan pemimpin berpengalaman dan juga wakil rakyat veteran untuk memberikan barisan calon yang lebih baik untuk dipilih.
“Cabaran terbesar adalah rakyat dah muak dengan politik dan demokrasi. Ini bahaya, jadi kita harus segarkan kembali proses politik,” kata Lee.
Takiyuddin Hassan, menteri undang-undang ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berkata, majoriti ahli Parlimen hari ini berusia lebih 60 tahun.
Daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripada mereka berusia antara 61 hingga 69; 19 orang berusia antara 70 hingga 79 tahun, sementara empat lagi berusia 80 tahun dan ke atas.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji berkata, buat masa ini jumlah 20% itu realistik.
“Berdasarkan landskap politik, kita kena dapatkan sokongan anak muda kepada PH,” katanya lagi.
Lee dilantik sebagai ketua Pemuda PH pada 12 September lalu berikutan kematian penyandangnya, Syazni Munir Ithnin. Ketua pemuda Amanah itu meninggal dunia pada 6 Ogos selepas dijangkiti wabak Covid-19. – 30 September, 2021.
Komen