-2.jpg)
KENYATAAN dangkal menteri kewangan baru-baru ini berkaitan dengan blanket moratorium tidak lain tidak bukan bertujuan untuk memperlekehkan minda dan keringat seluruh rakyat Malaysia yang ramainya kini separuh mati.
Selain daripada virus yang meratah hidup-hidup mata pencarian, kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia yang mengheret krisis sistem kesihatan ke ambang kemusnahan, krisis ekonomi yang seiring mengganggu-gugat rakyat Malaysia ini seperti sesuatu yang tak boleh dihadam oleh otak benak manusia sehebat menteri kewangan.
Mereka yang lena bersemayam di puncak singgahsana, seperti menteri kewangan kita seorang ini, jarang-jarang sekalilah terkesan; malah, ada sesetengah daripada mereka girang sekali meraih keuntungan bila mana ada lambakan jualan aset berharga yang terpaksa dijual pada harga ihsan demi kelangsungan hidup rakyat yang ditekan.
Ya, setiap kesukaran dan pergelutan di bawah sini nyatanya mengerikan setiap mata yang cakna. Lagi jauh ke bawah seseorang itu di rantaian ekonomi, lagi terdedahlah nadi di leher untuk merana.
Norma baharu di Malaysia bukan semata-mata tentang pelitup muka, penjarakan sosial dan PKP tanpa henti; realitinya – dan gerunnya – adalah pada kehilangan kerja dan mata pencarian, potongan gaji, penafian kebajikan pekerja, tutupnya operasi perniagaan, dan keterpaksaan mengikat perut untuk anak-anak senyum lagi seminggu dua.
Ini masih lagi tidak mengambil kira bukti-bukti hidup di mana si polan dibuang kerja oleh syarikat yang terpaksa gulung tikar, lalu dinafikan tunggakan gaji yang entah berapa bulan lamanya, dan kerana inilah masa depan Malaysia memerlukan blanket moratorium.
Mengapa perlu memohon?
Menteri Kewangan berkata “...kami menyediakan moratorium pinjaman secara automatik kepada kumpulan B40. Jika mereka mohon, mereka boleh memperolehinya… Mereka yang kehilangan kerja termasuk M40 dan T20 akan diluluskan moratorium pinjaman secara automatik.”
Namun, di sini saya bentangkan persoalan yang logik namun memedihkan; sekiranya ia automatik, mengapa perlu adanya proses permohonan dan kelulusan?
Proses permohonan seperti ini kebarangkaliannya ada dua: sama ada ia bertujuan menyusahkan lalu membunuh moral rakyat (dan bank peroleh kebaikan) ataupun menteri kita ini tidak kompeten dan tidak layak dianugerahkan tanggungjawab seperti itu.
Kerajaan miliki, kawal bank
Kenyataan menteri kewangan yang bersungguh-sungguh ‘memujuk’ rakyat untuk menerima omong kosong bahawa kerajaan tidak memiliki dan mengawal bank, adalah tidak masuk akal, sengaja meraih simpati yang tidak berasas, dan memang tidak benar pun. Faktanya adalah:
• BSN, Bank SME dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan
• Bank EXIM, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dan Agrobank dimiliki sepenuhnya oleh subsidiari kepada MOF Incorporated
• Bank Rakyat di bawah pemantauan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Kementerian Kewangan memiliki 5 daripada 6 Development Financial Institutions (DFI) yang saya telah utarakan, sepertimana yang juga diketengahkan oleh Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid.
Persoalannya, bolehkah menteri kewangan paling tidak pun mengarahkan bank-bank yang dinyatakan ini untuk memberikan blanket moratorium? Sekiranya tidak boleh, tidakkah ini menunjukkan kegagalan menteri tersebut seiring dengan kegagalan sedia ada kerajaan Perikatan Nasional?
Apa yang sekecil-kecilnya tindakan bekas pegawai bank merangkap menteri kewangan dan kerajaannya perlu lakukan adalah dengan utamakan keluhan perit getir kelas pekerja yang hari-hari bergelut ini: di mana tiadanya kompaun, dan tiada syarat-syarat menindas berkaitan dengan blanket moratorium.
Sekiranya dia lakukan perkara yang murni ini, rakan-rakan semejanya masih lagi boleh meraih berjuta-juta keuntungan, tak terjejas sedikit pun. Sekiranya tidak, rakan-rakannya itu peroleh keuntungan yang lebih berlipat-lipat ganda di atas kelas yang paling terdedah kepada kemusnahan ini.
PN di carta nombor satu dalam membangga diri mengangkat bakul. Menteri tersebut secara retorik mencabar sidang media untuk menamakan mana-mana negara lain yang pencapaiannya setanding dengan kehebatan-kehebatan yang beliau dan kerajaannya telah capai dalam mengendalikan moratorium.
Ya, hebat.
Memang benarlah pun bahawa kerajaan di atas sana kini di carta nombor satu dalam pelbagai perkara, termasuklah memacu negara ke kadar jangkitan Covid-19 yang tertinggi bagi setiap sejuta populasi, sekaligus menenggelamkan India.
Malah, ada satu lagi kejayaan terhebat yang kerajaannya telah capai yang tiada mana-mana negara boleh tandingi, iaitu menggantung demokrasi dengan mengisytiharkan darurat atas nama pandemik. Penting juga untuk kalian ambil maklum, keseluruhan 75% kes positif dan 80% kes kematian daripada Covid-19 dicatatkan pada tempoh Darurat ini – memang benar sejenis ‘kehebatan’ yang tidak ada mana-mana negara lain yang ‘berani’ untuk pangkas.
Yang pasti, kerajaan menteri kewangan ini tidak ada ‘legal ability’ (keupayaan undang-undang) mahupun asas moral untuk menggantung demokrasi, tetapi, mereka temui juga jalannya, bukan?
Mereka, sehingga kini, boleh memacu dan memanipulasi aset-aset dan hak-hak negara atas nama darurat tanpa melalui proses semak imbang di parlimen… takkanlah tiba-tiba tiada “legal ability to compel bank” pula untuk membantu rakyat?
Lagipun, bukankah itu asas utama mengapa sesuatu darurat itu diisytiharkan? Untuk memberi kuasa mutlak kepada kerajaan untuk melawan pandemik ini?
Jika kerajaan lindungan alam ini tidak boleh ataupun enggan untuk menggunakan kuasanya dalam meringankan perit getir rakyat, maka, logiknya, darurat ini betullah bertujuan untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional demi kelangsungan hidup politiknya sendiri. – 3 Jun, 2021.
* Howard Lee, Adun Pasir Pinji merangkap Ketua Pemuda DAP
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen