VAKSINASI pendatang asing tanpa dokumen dilakukan dengan bantuan kumpulan masyarakat sivil (NGO), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kita buat melalui NGO. Ini adalah salah satu daripada cara lain,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Dr Noor Hisham berkata demikian menjawab tentang prosedur vaksinasi pendatang asing tanpa dokumen kerana ada yang tidak tampil kerana takut dikenakan tindakan polis atau Jabatan Imigresen.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berulang kali memberi jaminan, terbaharu pada 24 September, berkata pendatang asing tanpa dokumen tidak akan dikenakan tindakan ketika vaksinasi.
Respons beliau itu muncul berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dalam jawapan bertulis kepada Parlimen baru-baru ini, di mana pada 30 Julai Kabinet bersetuju supaya petugas kesihatan memaklumkan kepada pasukan keselamatan jika ada pendatang asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sejajar dengan pekeliling 2001 dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
Namun, pekeliling 20 tahun dikenali sebagai 10/2001 itu tetap membimbangkan kumpulan hak pendatang asing dan pendatang tanpa izin.
Surat pekeliling dikeluarkan oleh ketua pengarah kesihatan ketika itu Dr Hj Mohamad Taha Arif mengarahkan pekerja kesihatan melaporkan kepada polis jika mereka menemui pendatang tanpa izin yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan. Bagaimanapun, rawatan yang diperlukan mesti didahulukan.
Baru-baru ini Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata melaporkan pendatang asing tanpa izin yang mahu divaksinasi hanya akan menghalang matlamat negara untuk beri vaksin kepada semua golongan masyarakat.
Dalam pada itu Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia memberitahu The Malaysian Insight warga asing lebih terbuka untuk tampil mendapatkan vaksin melalui program anjuran NGO dengan kerjasama pemimpin etnik dan kelompok pendatang.
Setiausaha Agungnya Hakim Hamzah berkata, pendatang tanpa dokumen itu bimbang ditahan pihak berkuasa sekiranya tampil di PPV kerajaan. – 27 September, 2021.
Komen