Lapor Pati kepada pihak berkuasa halang usaha dapatkan vaksin, kata kumpulan perubatan


Persatuan Perubatan Malaysia berkata, melaporkan Pati yang datang mendatangkan vaksin Covid-19 di PPV hanya akan menghalang matlamat negara memberi vaksin kepada semua golongan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2021.

MELAPORKAN pendatang asing tanpa izin (Pati) yang datang mendapatkan vaksin Covid-19 hanya akan menghalang matlamat negara untuk memberi vaksin kepada semua golongan masyarakat, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dalam satu kenyataan media, Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata, dia kecewa apabila mendengar kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bahawa kerajaan mewajibkan petugas kesihatan memaklumkan kepada pasukan keselamatan jika ada Pati di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Semalam, Hamzah berkata keputusan itu adalah prosedur operasi standard (SOP) vaksinasi yang diputuskan oleh Kabinet untuk program vaksinasi migran tanpa dokumen.

“Ini pasti akan menghalang usaha kita memvaksin seluruh golongan masyarakat.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sepanjang menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) menyebutkan bahawa garis panduan CITF sudah dipersetujui untuk mengajak semua individu tampil mengambil vaksin Covid-19. Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya.

Katanya, garis panduan itu dilaksanakan di samping mempertimbangkan pelbagai perundangan yang berlaku ketika itu.
Koh berkata, individu yang belum mendaftar dengan MySejahtera akan menjalani proses dokumentasi bagi membolehkan mereka didaftarkan.  

Semalam The Malaysian Insight melaporkan bahawa migran tanpa dokumen ini terpaksa mendapatkan vaksin Covid-19 secara haram kerana bimbang ditangkap dan berdepan masalah lain.

Mereka berkata satu pendekatan yang biasa diambil oleh kumpulan migran ini adalah dengan membayar perantara untuk disuntik dan mereka sering ditipu.

Pendatang menggunakan jalan ini kerana takut pihak berkuasa dapat mengesan kehadiran dan keberadaan mereka jika mereka mendaftar di aplikasi MySejahtera, dan akan ditahan ketika mereka muncul di pusat pemberian vaksin. – 24 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen