Bimbang ditangkap, pendatang tanpa dokumen dapatkan vaksin secara haram


Elill Easwaran

Kebanyakan pendatang asing tanpa dokumen perjalanan sah takut ke PPV untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana bimbang ditangkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

BIMBANG ditangkap dan berdepan masalah lain, pendatang asing tanpa dokumen perjalanan yang sah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara haram, kata kumpulan masyarakat sivil.

Mereka berkata satu pendekatan yang biasa diambil oleh kumpulan migran ini adalah dengan membayar perantara untuk disuntik dan mereka sering ditipu.

Pendatang menggunakan jalan ini kerana takut pihak berkuasa dapat mengesan kehadiran dan keberadaan mereka jika mereka mendaftar di aplikasi MySejahtera, dan akan ditahan ketika mereka muncul di pusat pemberian vaksin.

Mereka masih ketakutan walaupun ada jaminan dari pihak berkuasa bahawa pendatang tanpa dokumen tidak akan ditahan ketika mereka datang untuk vaksinasi.

Sebaliknya, bagi mereka yang menggunakan saluran rasmi untuk vaksinasi, mereka dapati proses vaksinasi untuk komuniti mereka sangat lambat, malah majikan mereka tidak banyak membantu, tambah kumpulan sukarelawan.

New Su Shern dari Project Liber8 berkata pendatang asing tanpa dokumen perjalanan ini mencari jalan lain untuk mendapatkan vaksin kerana mereka perlu bekerja.

“Ada di antara mereka yang sanggup membayar untuk mendapatkan vaksin tetapi kadang-kadang mereka ditipu oleh pihak tertentu,” katanya.

Tambahnya, majikan sepatutnya bertanggungjawab untuk memvaksinasi pekerja mereka tetapi merkea juga bimbang dikenakan tindakan kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan sah.

New berkata terdapat kira-kira 4 juta pendatang asing tanpa dokumen, yang mana hanya sekitar 1.2 juta sudah divaksinasi.

Beliau turut menggesa kerajaan agar mengizinkan lebih banyak kelompok masyarakat sivil mengambil bahagian dalam memberikan vaksin kepada pendatang asing, terutama yang tiada dokumen perjalanan sah.

“Kami wujudkan kepercayaan dengan migran tanpa dokumen, dan mereka akan merasa lebih selesa mendekati kami daripada ke pusat vaksinasi.

“Malah kos perjalanan untuk ke pusat pemberian vaksin juga sesuatu yang pendatang asing tanpa dokumen sah ini tidak mampu,” katanya.

Sementara itu Adrian Pereira daripada North South Initiative berkata terlalu banyak kegagalan oleh kerajaan dalam hal vaksinasi pendatang asing tanpa dokumen sah.

Ini adalah sebab utama para pendatang tanpa dokumen ini gagal hadir.

“Kami gagal memahami budaya dan perilaku mereka kerana kerajaan harus tahu bahawa mereka ini hidup dalam ketakutan ditangkap dan diganggu setiap hari.

“Kerajaan bertindak untuk memvaksinasi migran tanpa dokumen tetapi sangat lambat,” katanya.

Beliau menambah terdapat juga kekurangan pada aplikasi MySejahtera dan Selangkah kerana terdapat isu bahasa pada borang di dalamnya. 

“Sebilangan besar migran tanpa dokumen buta huruf, itulah sebabnya mengapa kerajaan perlu menyediakan borang tersebut dalam bahasa masing-masing.

“Sebagai contoh di Singapura, borang vaksinasi tersedia dalam semua bahasa, sehingga memudahkan pendatang memahami,” katanya.

Ribuan pekerja asing memenuhi pusat vaksinasi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mengambil suntikan vaksin Covid-19pada Ogos lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

Tubuh pusat vaksinasi bergerak

Mahi Ramakrishan daripada Beyond Borders berkata banyak pendatang tanpa dokumen belum mendaftar di MySejahtera kerana takut data yang dikumpulkan kemudiannya akan digunakan oleh Jabatan Imigresen untuk mengesan mereka.

“Pekerja migran dan juga pelarian seharusnya sudah diberi akses kepada semua pusat vaksinasi sejak awal.

“Kita sebenarnya tidak memikirkannya. Sebagai contoh, pusat vaksinasi bergerak sepatutnya ditubuhkan sejak awal untuk memvaksinasi pekerja migran di kilang. Tetapi kita gagal melakukannya.

“Sekarang, tiada akses sepatutnya bagi pekerja tiada dokumen mendapatkan vaksinasi mereka. Kumpulan masyarakat sivil yang mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan organisasi seperti Palang Merah untuk memberikan mereka vaksin,” katanya.

Seorang pekerja migran yang hanya mahu dikenali sebagai Riyas berkata beliau bimbang ditangkap di pusat vaksinasi.

“Saya melihat begitu banyak rakan ditangkap semasa serbuan imigresen, itulah sebabnya saya agak takut untuk ke pusat vaksinasi yang dikendalikan oleh kerajaan,” katanya.

Seorang wanita Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata beliau tidak sabar mendapatkan vaksin tetapi ketakutan ditangkap selalu ada.

“Alangkah baik jika kami mempunyai seseorang yang boleh percayai seperti kumpulan masyarakat sivil untuk membantu kami mendapatkan vaksin daripada pergi ke pusat suntikan.

“Malah perjalanan ke pusat ini akan menelan belanja hampir RM50, yang merupakan sesuatu yang kami tidak mampu buat masa ini,” katanya.

Malaysia semalam menyelesaikan 80% vaksinasi penduduk dewasa, yang membolehkan kerajaan beralih ke fasa endemik.

Vaksin lengkap ditakrifkan sebagai sudah menyelesaikan tempoh menunggu keberkesanan vaksin bermula selama 14 hari selepas dos kedua.

Manakala tempoh 28 hari diperlukan bagi mereka yang menerima suntikan tunggal satu dos. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen