Warga asing lebih berani ambil vaksin dengan NGO, kata Bulan Sabit Merah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Antara program vaksinasi untuk pendatang asing tanpa dokumen dijalankan di Kampung Delek, Klang anjuran Bulan Sabit Merah dengan kerjasama Kedutaaan Kemboja dan bekalan vaksin disediakan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 September, 2021.

WARGA asing lebih terbuka untuk tampil mendapatkan vaksin melalui program anjuran NGO dengan kerjasama pemimpin etnik dan kelompok pendatang, kata Bulan Sabit Merah Malaysia.

Setiausaha Agungnya Hakim Hamzah berkata, pendatang tanpa dokumen itu bimbang ditahan pihak berkuasa sekiranya tampil di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerajaan.

Oleh itu, mereka menggerakkan program imunisasi khas bagi menggalakkan lebih ramai warga asing tanpa dokumen mendapatkan perlindungan itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sejak 4 September hingga (Jumaat), seramai 2,510 warga asing termasuk yang tidak memiliki dokumen sudah diberikan vaksin. Namun jumlah ini tidak merangkumi mereka di Sabah.”

Jelasnya, ia dijalankan dengan kerjasama NGO Our Journey, pejabat kedutaan beberapa negara dan Jawatankuasa Hal Pendatang Asing, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam.

Menurut Hakim, Persatuan Bulan Sabit Merah satu-satunya NGO yang diberikan kepercayaan dan kebenaran kerajaan untuk memberikan vaksin kepada warga asing di negara ini.

“Kami bersifat neutral dan empati, antara faktor yang menyebabkan warga asing terutamanya mereka yang tidak berdokumen untuk tampil mendapatkan vaksin.

“Mereka sebenarnya takut untuk keluar dan risau akan ditahan pihak berkuasa jika ke PPPV,” katanya.

Kataya, Bulan Sabit Merah sejak awal lagi bekerjasama dengan persatuan dan pemimpin kelompok atau etnik warga asing untuk mendapatkan senarai individu yang belum divaksin.

Hakim berkata, mereka hanya membenarkan pendaftaran awal melalui persatuan atau pemimpin etnik masing-masing dan tidak akan melayan mereka hadir secara jumpa terus.

Ini bagi mengelak kehadiran terlalu ramai pada masa yang sama.

Wujud kebimbangan dalam kalangan pendatang asing untuk pergi ke PPV kerajaan bagi mendapatkan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2021.

“Kemudiannya, kami akan mengambil vaksin dari kerajaan mengikut senarai yang diberikan dan program vaksinasi akan dijalankan di kampung atau petempatan mereka sendiri.

“Contohnya seperti di Kampung Delek, Klang, seramai 105 warga Kemboja diberikan vaksin Covid-19.

“Ini adalah lokasi kelapan kami dan pada hujung minggu, beberapa program lagi dijalankan di Kepong dan Ampang untuk warga asing dari negara lain,” katanya.

Beliau gembira kerana mendapat kerjasama baik daripada kedutaan Thai, Kemboja dan beberapa lagi yang menurutnya bersyukur dengan pemberian vaksin percuma itu.

Sementara itu, Duta Besar Kemboja di Malaysia, Cheuy Vichet mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberikan vaksin kepada semua rakyatnya.

“Kerajaan Malaysia berbesar hati memberikan vaksin secara percuma kepada semua warga asing tidak kira yang sah mahupun tidak berdokumen.

“Kami gembira dengan usaha ini kerana tidak sesiapa pun selamat sehingga semua orang selamat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Duta Besar Kemboja di Malaysia, Cheuy Vichet mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberikan vaksin kepada semua rakyatnya yang berada di negara ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 September, 2021.

Program vaksinasi di Kampung Delek, Klang itu yang pertama dianjurkan untuk masyarakat Kemboja dengan kerjasama Bulan Sabit Merah.

Beliau menganggarkan lebih 4,000 rakyat Kemboja menetap di Malaysia secara sah manakala dianggarkan 50,000 lagi tidak memiliki dokumen sah.

“Saya tiada angka yang tepat kerana ini adalah data Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Menurutnya majoriti warga Kemboja itu tinggal di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Perak dan Melaka.

“Kebanyakan yang tidak berdokumen ini tidak berdaftar dengan pejabat duta besar juga,” katanya.

Seorang wakil komuniti warga Kemboja di Kampung Delek, Klang, Abdul Rahman Mohd Noor, 54, berkata, mereka menunggu lebih dua bulan untuk mendapatkan vaksin.

“Lebih 600 warga Kemboja menetap di sini, dan hari ini 105 sudah mendapatkan vaksin.

“Mana-mana yang bekerja dan memiliki dokumen sudah mendapatkan vaksin dengan bantuan majikan masing-masing. Tetapi masih beratus-ratus juga yang belum mendapatkan vaksin.

“Harapan kami hanya melalui program vaksinasi seperti ini terutamanya yang tiada dokumen sah untuk berada di Malaysia,” katanya yang sudah menetap di Malaysia lebih 40 tahun.

Pada masa sama, Kementerian Dalam Negeri pula mewajibkan petugas kesihatan melaporkan setiap warga asing yang diberikan vaksin.

Menterinya Hamzah Zainudin memberitahu Parlimen, arahan itu antara prosedur yang ditetapkan kabinet pada 30 Julai bagi program vaksinasi ke atas migran tanpa dokumen.

Arahan berkenaan menerima kritikan para doktor dalam Persatuan Perubatan Malaysia yang bimbang ia akan menjejaskan kempen vaksinasi ke atas warga asing. – 26 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen