BARISAN Nasional (BN) akan memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya peratusan keluar mengundi serendah 70 peratus, kata seorang penganalisis politik.
Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata, sekiranya BN berjaya mendapatkan semula majoriti dua pertiga, persempadanan semula yang baharu akan dilakukan pada hujung tahun dengan penambahan kerusi.
“Sama ada BN dapat dua pertiga atau tumbang ia bergantung kepada peratusan keluar mengundi.
“Kalau peratusan keluar mengundi tinggi, biasanya kerana orang marah dan itu yang merugikan kerajaan dan akan menggagalkan manipulasi persempadanan semula (gerrymandering).
“Kalau peratusan keluar mengundi turun serendah 70% kemungkinan besar lebih daripada separuh, BN akan dapat majoriti dua pertiga,” kata Wong semasa forum “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan BN: Di Mana Hak Pengundi?” anjuran IDE di Shah Alam hari ini.
Menurut Wong, selepas mendapat majoriti dua pertiga pada PRU14, BN sudah boleh memulakan proses persempadanan semula hujung tahun ini untuk menambah jumlah kerusi Parlimen yang akan memberikan keuntungan kepada mereka.
“Apa Najib Razak perlu buat adalah tambah kerusi di Parlimen.
“Dan tuan-tuan dan puan-puan rasa masa itu kita ada lagi tenaga untuk lawan macam ni?” kata Wong merujuk kepada bantahan dilakukan pengundi terhadap proses persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Wong berkata, ramai yang tidak sedar akan kesan besar yang akan berlaku akibat tidak keluar mengundi.
“Kalau tak undi, kita bukan sahaja membantu SPR malah kita akan membuka pintu untuk persempadanan yang lebih teruk dan mungkin akan berlaku seawal penghujung tahun 2018.
“Itu masalah besar yang orang tak nampak,” katanya yang pernah menganggotai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Wong berkata, persempadanan semula yang dilakukan SPR kali ini berbeza dengan sebelumnya kerana tidak melibatkan penambahan kerusi Parlimen kerana BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Kecuali untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.
“BN tak dapat jaminan bahawa dia akan dapat kerusi yang dia pasti menang,” katanya.
Hari ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad turut menyelar gerakan untuk tidak mengundi atau membuat undi rosak.
Dr Mahathir berkata langkah untuk tidak menggalakkan pengundi keluar mengundi turut disokong oleh BN.
“Kebanyakan datang daripada Umno, mereka kata kononnya tidak ada beza di antara PH dan BN, maka jangan mengundi. Rosakkan kertas undi dan sebagainya.
“Mereka tahu kalau ramai tak keluar mengundi, BN akan menang.
“Umno hendak menang dengan mengelirukan rakyat. Dengan mengambil hak mengundi mereka, dengan berkata tidak ada beza antara kedua-duanya,” kata Dr Mahathir. – 23 Januari, 2018.
Komen
ramai nak buat undi rosak kerana (semata2) tak mahu madey jadi pm..
madey pernah jadi pm..
najib mmg pm skrg..
madey dulu mmg zalim, tak dinafikan.. tp kezaliman beliau (dulu) tak terkesan sangat kpada rakyat.. mungkin segelintir..
najib kini mmg zalim, tak ternafi juga.. dan kezaliman beliau dirasai oleh segenap lapisan rakyat.. siapa berani nafikan..?
madey kini mewakili PH yg tak pernah tadbir negara..
najib kini mewakili BN yg dah tadbir negara lebih dari setengah abad, dan BN mmg banyak track record buruk sepanjang pentadbiran gabungan parti ini..
bekas penzalim (madey) lawan penzalim sekarang (najib)..
bekas penzalim = penzalim ke..?
p/s:
bekas perokok = perokok..?
bekas penjenayah = penjenayah..?
bekas pelacur = pelacur..?
#fikir
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Maiku Kamishiro · Ulasan