Jangan singkat akal mahu rosakkan undi, kata Dr Mahathir


Bede Hong

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad pada sidang media hari ini berkata gerakan anak muda untuk memboikot pilihan raya adalah tindakan tidak tepat dalam menyelamatkan negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Januari, 2018.

JANGAN singkat akal buat keputusan tidak mahu mengundi atau merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Dr Mahathir Mohamad kepada kumpulan anak muda yang menggerakkan kempen boikot pilihan raya.

Bekas perdana menteri itu berkata dengan merosakkan undi, rakyat Malaysia berdepan risiko di mana negara ini mungkin kembal ke zaman miskin ketika pra Merdeka.

“Jadi, untuk kata ‘apa bezanya?’ adalah salah. Ini cara sesetengah orang yang berfikiran sempit.

“Kita perlu ubah negara ini. Jika kita perlu ubah, saya tidak akan terlibat lagi dalam hal ini kerana saya pun sudah 92 tahun, hendak masuk 93,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Pengerusi PH itu berkata ada beza antara kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) dengan gabungan pembangkang, ketika mengulas kenyataan pengundi muda yang mahu memboikot PRU14 kerana kecewa dengan kedua-duanya.

“Sesetengah orang muda ini dilahirkan ketika negara ini sebahagiannya sudah pun dibangunkan. Sudah tentu, mereka fikir ini keadaan biasa.

“Tetapi negara ini belum dibangunkan sebelum ini. Sebelum kita merdeka, ini negara miskin, dan kita pernah tukar perdana menteri.

“Namun, perdana menteri itu tidak curi wang. (Tetapi) perdana menteri ini (Najib Razak) terkenal di seluruh dunia kerana mencuri wang. Perdana menteri ini harus pergi.”

“Ada orang kata negara ini akan musnah. Mereka kata kalau jadi begitu, mereka akan tinggal di Australia. Ini salah.”

Dr Mahathir berkata langkah untuk tidak menggalakkan pengundi keluar mengundi turut disokong oleh BN.

“Kebanyakan datang daripada Umno, mereka kata kononnya tidak ada beza di antara PH dan BN, maka jangan mengundi. Rosakkan kertas undid dan sebagainya.

“Mereka tahu kalau ramai tak keluar mengundi, BN akan menang.

“Umno hendak menang dengan mengelirukan rakyat. Dengan mengambil hak mengundi mereka, dengan berkata tidak ada beza antara kedua-duanya,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata mereka yang memboikot PRU14 “akan menjadi penyokong BN secara tidak langsung”.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah berkata pengundi atas pagar akan menguntungkan kerajaan pemerintah.

“Dalam sejarah Malaysia, bila ramai keluar mengundi, BN kalah teruk atau menang dengan majoriti tipis. Itu apa yang BN sedang lakukan, untuk galakkan orang jangan keluar mengundi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu wartawan sayap itu dalam PH akan mengadakan sebanyak mungkin sesi dialog bersama pengundi muda.

“Walaupun jumlahnya kecil, setiap undi penting dalam misi menawan Putrajaya,” katanya, menambah beberapa kawasan seperti Tebrau, Pasir Gudang, Titiwangsa dan Muar menang dengan hanya 1% perbezaan antara calon utama.

“Mereka yang idealistik, saya rayu mereka melihat PH secara keseluruhan, dan bandingkan dengan BN. Kami yang mendesak supaya portfolio perdana menteri dan menteri kewangan diasingkan. Kami yang mendesak kuasa eksekutif dikurangkan.

“Ada banyak perubahan yang bakal kami bawa. Persoalannya ialah apa yang Umno dan BN tawarkan? Tanya diri anda sendiri,” katanya.

Sementara itu satu kenyataan PH menyebut, gabungan parti itu mengenalpasti tiga kelompok utama yang akan merosakkan undi atau memboikot pilihan raya sebagai tanda protes.

Salah satunya adalah propagandis BN yang berusaha untuk mengurangkan minat pengundi kerana parti itu akan tewas sekiranya ramai keluar mengundi.

Golongan kedua yang dikenalpasti adalah kumpulan antiestablishment yang turut mempengaruhi pengundi menggunakan hujah demokratik untuk memprotes dengan memboikot dan merosakkan undi.

Kumpulan ketiga pula merupakan golongan pengundi atas pagar yang tidak berpuas hati dengan PH.

Kira-kira 2.43 juta rakyat berumur antara 21 dan 30 layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi. Malaysia mempunyai 14.31 juta pengundi berdaftar.

Tujuh daripada 10 anak muda Malaysia berkata mereka berpendapat ahli politik tidak boleh dipercayai dan itu sebab utama Malaysia dilanda masalah, menurut satu kaji selidik yang dikeluarkan pada September. Lebih separuh daripada responden itu percaya ahli politik tidak pedulikan rakyat. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen