Pakatan cenderung setuju MoU dengan kerajaan, kata majlis presiden


Majlis Presiden PH malam ini membincangkan memorandum persefahaman itu, termasuk pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumumkan perdana menteri semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September 2021.

PAKATAN Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob demi rakyat, kata pemimpin tiga parti dalam gabungan itu.

Persetujuan itu bagaimanapun tertakluk kepada penambahbaikan draf yang akan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak, kata Majlis Presiden PH.

“Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, malam ini.

Kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini membincangkan memorandum persefahaman itu, termasuk pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumumkan perdana menteri semalam.

“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” tambah tiga ketua parti dalam PH.

Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden hari ini turut membincangkan langkah reformasi politik yang perlu dimasukkan dalam memorandum berkenaan, antaranya pelaksanaan Undi 18, reformasi Parlimen dan kebebasan badan kehakiman.

“Wakil-wakil turut telah membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini,” kata tiga ketua parti dalam PH.

Kenyataan itu menyebut memorandum persefahaman untuk merujuk kepada perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSRA) yang diperkata secara terbuka, sejak pertemuan tiga ketua parti dalam PH dengan Ismail Sabri pada 25 Ogos.

Majlis Presiden PH juga memaklumkan memorandum persefahaman itu dibincangkan bersama antara lima wakil bagi pihak kerajaan dan enam wakil bagi pihak PH.

Pihak kerajaan diwakili Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional merangkap setiausaha agung Bersatu, dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS.

Tiga lagi wakil kerajaan ialah menteri Parlimen dan undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Enam wakil PH adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Majlis Presiden PH mendedahkan pasukan perunding itu semalam membincangkan beberapa perkara dasar dan program khusus, termasuk menekankan keperluan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.

“Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” kata kenyataan itu lagi. – 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen