Ismail ulang 7 tawaran Muhyiddin untuk jamin kestabilan politik


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengulangi tujuh tawaran yang pernah ditawarkan Muhyiddin Yassin sebelum digulingkan sebagai perdana menteri kelapan bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

HAD jawatan perdana menteri selama dua penggal dan rang undang-undang menghalang lompat parti antara tujuh perkara ditawarkan Ismail Sabri Yaakob untuk mengukuhkan Parlimen dan menjamin kestabilan politik.

Katanya, kerajaan juga akan meminda Perlembagaan untuk melaksanakan Undi 18 dan memberi lebih banyak tempat bagi pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas.

“Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen juga akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

“Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

“Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri,” katanya lagi dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi tawaran tersebut yang dinyatakan Muhyiddin Yassin sebelum digulingkan sebagai perdana menteri kelapan bulan lalu. 

Tawaran itu dibuat bagi meraih sokongan pembangkang selepas 15 ahli Parlimen Umno menolak beliau sebagai perdana menteri.

Ismail berkata tujuh perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar pentadbiran kerajaan stabil untuk menghadapi krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” katanya.

Sebaik mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan, Ismail bertemu ketua parti pembangkang dan mencapai persefahaman bagi mewujudkan suasana politik lebih kondusif untuk rakyat dan negara. – 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen