Bersepakat demi rakyat, kata Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan


(Dari kiri) Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Lim Guan Eng ketika pertemuan mereka di Putrajaya, hari ini. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 25 Ogos, 2021

KERAJAAN dan pembangkang mencapai persetujuan dan persefahaman mahu mewujudkan suasana lebih kondusif untuk rakyat dan negara, hasil pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan tiga ketua parti dalam Pakatan Harapan di Putrajaya, hari ini.

Suasana yang lebih kondusif “dalam konteks Keluarga Malaysia” dibayangkan dengan adanya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang lebih baik, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Persetujuan bersama dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” kata mereka.

Kenyataan itu mengulangi nada ucapan sulung Ismail Sabri pada Ahad, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, tentang pentingnya semua pihak bersama-sama menyelamatkan negara dan rakyat sebagai sebuah keluarga besar.

Kenyataan dikeluarkan dan ditandatangani bersama oleh Ismail Sabri, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pertemuan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya selama lebih sejam.

Pertemuan diadakan atas jemputan Ismail Sabri sebagai menjunjung nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya suhu politik semasa dapat diredakan, kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama turut menyebut pertemuan bertumpu kepada agenda kepentingan rakyat iaitu “mencari titik persamaan yang terbaik” bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Dalam ucapan sulungnya juga Ismail Sabri mempelawa pembangkang membantu pentadbirannya dengan menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Jemputan itu diulangi oleh Ismail Sabri semasa lawatan kerja pertamanya di Yan, Kedah, kelmarin.

Tiga ketua parti dalam PH dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sebelum pertemuan dengan Ismail Sabri berkata mereka sedia mempertimbang pelawaan itu sekiranya ikhlas untuk menangani krisis.

Mereka tidak mahu jemputan itu sekadar tangkap muat atau untuk menjadi pak turut kepada pandangan dan keputusan kerajaan. 

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan perdana menteri, Anwar berkata pihak pembangkang tidak akan mempersulit kerajaan Ismail Sabri sekiranya “suasana dan program” memihak kepada rakyat.

“Kita beritahu kalau suasana dan program-program itu agak prorakyat kita tak akan persulitkan.

“Kita beri jaminan kalau program prorakyat, program menangani Covid-19 ini lebih berkesan, maka kita tiada masalah untuk menjamin keadaan lebih terkawal,” katanya kepada pemberita di luar Kompleks Perdana Putra.

Anwar mengulas gesaan supaya usul undi percaya dibawa terhadap Ismail Sabri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dewan Rakyat ditetapkan bersidang kali pertama untuk tahun ini pada 6 September. – 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen