Pakatan tak persulit undi percaya, kata Anwar


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata isu jawatan Kabinet bagi pemimpin PH juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Ogos, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob tidak akan ditekan dalam undi percaya selagi perdana menteri itu dapat memastikan keadaan politik stabil dan melaksana dasar membantu rakyat, kata pembangkang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata tuntutan bagi melaksana program berkenaan juga menjadi tumpuan utama perbincangan sulung yang diadakan bersama Ismail Sabri petang ini.

“Kita beritahu kalau suasana begini dan program agak prorakyat, kita tidak akan mempersulitkan,” kata Anwar ketika ditanya pendirian pembangkang sekiranya undi percaya tersebut diadakan.

Beliau juga berkata, isu mengenai jawatan Kabinet bagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat di pejabat Ismail petang ini.

“Tidak berbangkit dan saya pun tidak mahu itu dijadikan isu. Kita tidak datang untuk meminta jawatan. Isu kita khusus ekonomi rakyat dan Covid-19,” katanya.

Jelasnya, dalam pertemuan lebih sejam itu PH antara lain mengemukakan program menangani pandemik Covid-19 yang lebih berkesan dan menangani isu golongan miskin dan kehilangan kerja.

Sekiranya program prorakyat itu dilaksanakan, PH tiada masalah untuk menyokong demi memastikan keamanan dan menurunkan suhu politik, katanya.

“Kalau program prorakyat lebih berkesan, jadi kita tiada masalah,” katanya yang mesyuarat tersebut bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Presiden PKR itu seterusnya berkata, wakil PH akan menyertai mesyuarat selanjutnya dengan pihak kerajaan bagi program berkenaan.

“Akan ada mesyuarat susulan peringkat jawatankuasa oleh wakil-wakil kita untuk apa yang harus dipersetujui dan langkah-langkah diambil supaya keadaan kedudukan PM dan kedudukan negara lebih terkawal, lebih aman politiknya.”

Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu menitahkan, perdana menteri baharu perlu mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat secepat mungkin selepas dilantik ke jawatan itu.

Rancangan untuk mengadakan undi tersebut bagaimanapun tidak disebut oleh Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu.

Kalangan pemimpin pembangkang seperti Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pula berpendapat, ia tidak perlu lagi diadakan demi memastikan keadaan politik stabil.

Katanya tidak ada sesiapa yang hendak menukar perdana menteri sekali lagi, selepas Muhyiddin Yassin letak jawatan minggu lalu dan diganti Ismail Sabri.

Pembangkang menghargai kesanggupan Ismail Sabri mengadakan rundingan walau Umno yang merupakan parti perdana menteri itu melarang berbuat demikian, kata Anwar.

Secara berseloroh, Anwar berkata tindakan tersebut menunjukkan perdana menteri baharu itu sanggup melanggar ketetapan Umno demi mengikut titah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya ucap terima kasih sebab Ismail Sabri ini mewakili Umno tapi dia bincang dengan Anwar dan DAP.

“Saya gurau dengan dia, (Umno tegaskan) no Anwar no DAP. Nampak dah berubah. (Itulah) semangat titah Tuanku untuk kerjasama,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Titah itu merujuk kepada arahan baginda supaya perdana menteri baharu mengadakan kerjasama dengan pembangkang untuk menangani pandemik dan memastikan keadaan politik stabil. – 25 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen