Tidak perlu lagi undi percaya terhadap Ismail Sabri, kata Dr Mahathir


Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

UNDI percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tidak perlu diadakan di Parlimen secepat mungkin, kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tidak ada sesiapa yang hendak menukar perdana menteri sekali lagi, selepas Muhyiddin letak jawatan minggu lalu dan diganti Ismail Sabri.

“Saya tak fikir, kita tak nak tukar lagi sekali Perdana Menteri.

“Jadi kalau pergi ke Parlimen, dia tak dapat majoriti, kena tukar lain. Jadi dunia sedang ketawa… kita tidak ada nak bagi jatuh (kerajaan ini),” katanya, seperti dipetik Astro Awani di Langkawi.

Beberapa pakar perundangan juga sebelum ini memberi pandangan usul percaya terhadap Ismail Sabri tidak perlu lagi kerana pelantikannya sudah sah dan beliau pada masa ini tidak hilang majoriti kepercayaan di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri mengangkat sumpah pada Sabtu (21 Ogos) selepas mendapat kepercayaan 114 ahli parlimen berdasarkan surat akuan sokongan yang dihantar ke Istana Negara minggu lalu. 

Undi percaya terhadap Ismail Sabri berbangkit susulan titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos, dua hari sebelum Istana Negara mengumum pelantikan ahli Parlimen Bera sebagai perdana menteri.

Pakar perundangan bimbang “mewajibkan” usul percaya kepada Ismail Sabri di Parlimen seolah-olah mengikat pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan pengesahan di Dewan Rakyat.

“Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan perdana menteri.

“Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya,” kata pakar perlembagaan Shamrahayu Abdul Aziz.

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali juga berkata undi percaya tidak timbul sekarang kerana pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong sah dari segi undang-undang.

Pandangan itu bagaimanapun disanggah beberapa pihak yang mahu titah Tuanku Agong dihormati, termasuk Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut seorang perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”. – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen