MENJADI sebahagian daripada kerajaan perpaduan tidak praktikal malah mungkin tidak menyebelahi Pakatan Harapan, kata Tony Pua dari DAP pada satu forum dalam talian.
Ahli parlimen Damansara itu berkata, masalah akan timbul apabila menteri tidak bersetuju dengan pembaharuan atau polisi yang perlu ditangani kabinet.
“Sebaik anda berada dalam kabinet (kerajaan perpaduan), ia seperti satu gabungan. Anda akan dikecam (oleh pengundi) jika anda tidak dapat melaksanakan pembaharuan yang dikehendaki.
“Kemudian jika satu belah pihak lagi mahukan polisi tertentu yang kami tidak setuju, kami akan sekali lagi dikutuk kerana berada dalam kerajaan namun masih membenarkan polisi sebegitu diluluskan.
“Satu kerajaan perpaduan dari perspektif praktikal, ia tidak akan berjaya,” Pua memberitahu forum mengenai perkembangan semasa politik Malaysia dianjurkan The Oxford and Cambridge Society, video yang dihantar dalam laman Facebook miliknya.
Pua ditanya mengenai harapan sesetengah rakyat Malaysia terhadap kerajaan perpaduan selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos apabila beliau kehilangan sokongan majoriti.
Beliau diganti oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang bertemu dengan pemimpin parti pembangkang Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu untuk membincangkan mengenai pembaharuan pada Rabu, 2 hari sebelum mengumumkan barisan kabinetnya.
Disebabkan majoriti kecil Ismail Sabri 114 daripada 220 ahli parlimen, ada spekulasi beliau mungkin memilih untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai cara untuk menamatkan politiking dan memberi tumpuan untuk menangani pandemik Covid-19.
Pua tidak bersetuju kerajaan perpaduan mampu mencetus kestabilan politik.
“Anda mungkin mempunyai satu kerajaan perpaduan yang tempang atau satu kerajaan yang mana satu parti akan sentiasa tidak gembira dengan parti satu lagi.”
Pua salah seorang daripada beberapa ahli parlimen pembangkang yang secara terbuka menyokong idea pembangkang patut menerima pembaharuan yang dijanjikan Muhyiddin bagi meraih sokongan sebelum peletakan jawatannya.
Beliau memberitahu forum itu pembaharuan yang dijanjikan Muhyiddin kini dibentangkan semula bersama Ismail Sabri dan melahirkan keyakinan satu persetujuan akan dicapai ketika perdana menteri baharu mahu mengekalkan kedudukannya daripada ancaman dalaman.
Antara pembaharuan dijanjikan Muhyiddin adalah akta lompat parti, mengehadkan tempoh perdana menteri, mempercepatkan pelaksanaan Undi18, meningkatkan status pemimpin pembangkang, pembaharuan parlimen dan perbincangan terlebih dahulu dengan pembangkang sebelum pembentangan rang undang-undang.
Pua berasakan idea untuk menyokong kerajaan majoriti kecil dengan melaksanakan pembaharuan lebih praktikal berbanding kerajaan perpaduan.
“Kami tidak berada dalam kerajaan tapi kami boleh bersuara. Kali ini, pembangkang akan diberitahu terlebih dahulu sebelum rang undang-undang dibentang dan apabila rang undang-undang dibentang, ia akan dipersetujui kedua-dua pihak.
“Ismail Sabri mahu mengelakkan rang undang-undang ini ditolak, jadi bagi mengelakkannya, mereka akan berbincang dengan kami terlebih dahulu. Kami boleh bersetuju mengenai apa yang patut disertakan, contohnya bajet, kemudian tidak ada kebimbangan bajet ini akan ditolak apabila dibentangkan.
“Bagi saya, ini satu langkah ke hadapan bagi demokrasi Malaysia. Ia satu permulaan hebat bagi demokrasi kami yang sering terlalu bermusuhan.
“Kami kini melihat peluang untuk berbincang, kedua-dua pihak memberi pendapat dan bersetuju demi kepentingan rakyat. Saya lihat ini satu pilihan yang lebih bagus tanpa kami perlu berada dalam kerajaan dan dibelenggu pelbagai masalah,” kata Pua. – 28 Ogos, 2021.
Komen
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Aremah Adam · Ulasan