Tony Pua setuju tawaran Ismail Sabri elak 'kluster mahkamah'


Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata beliau yakin perdana menteri baru bersedia untuk berunding kerana Ismail disifatkan lemah dalam Umno dan mahu menangkis cabaran daripada pembangkang di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2021.

REFORMASI Parlimen ditawarkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kepada pembangkang sebagai pertukaran sokongan muncul semula, kali ini dengan Ismail Sabri Yaakob, kata Tony Pua.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata beliau yakin perdana menteri baru bersedia untuk berunding kerana Ismail disifatkan lemah dalam Umno dan mahu menangkis cabaran daripada pembangkang di Parlimen.

Inilah sebabnya mengapa Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan ketua parti pembangkang Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sebelum mengumumkan barisan Kabinet barunya semalam, kata Pua ketika forum dalam talian.

“Kami terlepas kapal dengan Muhyiddin, sekarang ini (reformnasi) ditawarkan semula, haruskah kita mengambilnya lagi? Saya katakan kita harus.

“Tidak akan ada konsesi daripada pihak mereka.

“Kita mesti menekankan bahawa ketika kita bertemu PM dan membincangkan mengenai sokongan atau bantahan sewaktu undi percaya, kita mahu apa yang ditawarkan Muhyiddin kepada rakyat Malaysia juga ditawarkan kepada kita dan rakyat Malaysia hari ini.

“Sekiranya beliau (Ismail Sabri) dapat melakukan itu, dan sekarang sedang dirundingkan, jika beliau dapat menawarkan apa sahaja yang ditawarkan Muhyiddin - undang-undang anti lompat parti, had masa PM memegang jawatan dan reformasi Parlimen - maka kita bersedia menawarkan gencatan politik supaya memberi kestabilan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ini sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Itu adalah sesuatu yang sedang kami usahakan dan cukup optimis,” kata Pua pada forum dalam talian yang dianjurkan oleh The Oxford and Cambridge Society. Video itu disiarkan di laman Facebooknya.

Pua berkata ‘ketakutan utamanya’ setelah pengunduran Muhyiddin adalah Umno terutama mereka dalam ‘kluster mahkamah’ yang akan kembali berkuasa.

Ini merujuk kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan tuduhan rasuah.

“Jika kleptokrat ini kembali berkuasa, itu akan mengakibatkan kerosakan besar pada negara.”

Itulah sebabnya beliau menyokong idea ini dan pembangkang seharusnya menerima janji reformasi Muhyiddin sebagai ganti sokongan mereka.

Pua berkata, Ismail Sabri kini berada dalam situasi yang sama dengan Muhyiddin – majoriti sokongan 114 daripada 220 ahli Parlimen.

“Beliau tidak mahu terjebak dalam perangkap atau kelemahan yang sama dihadapi Muhyiddin. Oleh itu, Ismail Sabri membuat langkah tepat sebagai permulaan – ayuh kita bercakap dari sudut lain, mari kita bentuk beberapa peraturan yang akan membuat saya stabil dan membolehkan saya menyimpan musuh dalaman saya – Najib, Zahid dan kluster mahkamah.”  – 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen