Ahli Parlimen BN, PAS di ibu pejabat Umno


Ravin Palanisamy

Pemimpin PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri), Takiyuddin Hassan (dua kiri) dan Idris Ahmad (kanan) tiba di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di PWTC Kuala Lumpur bagi mesyuarat Muafakat Nasional, dipercayai untuk memilih dan melantik calon perdana menteri baharu pilihan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Ogos, 2021.

BEBRAPA pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan PAS dilihat tiba di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur hari ini.

Antara yang kelihatan masuk ke bangunan itu ialah bekas perdana menteri dan penasihat BN Najib Razak, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan ahli Parlimen PAS Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali.

Difahamkan pertemuan itu bagi memilih calon perdana menteri baharu.

PAS dan Umno merupakan parti dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang pada Isnin berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Bersatu.

Kedua-dua parti itu juga sebahagian daripada Muafakat Nasional.

Malam tadi, BN mengadakan mesyuarat mengenai perkara sama dan bersetuju mencalonkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan perdana menteri.

Semua ahli Parlimen diminta serah dan maklumkan surat akuan sokongan terhadap perdana menteri pilihan mereka kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang ini.

Awal hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Collins Sequerah membenarkan penangguhan sementara agar Najib dapat hadir ke mesyuarat tersebut. – 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen