BARISAN Nasional sepakat menamakan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob calon perdana menteri, yang akan dipersembahkan namanya kepada Yang di-Pertuan Agong, petang esok (Rabu, 18 Ogos), kata pemimpin parti.
Pemilihan Ahli Parlimen Bera disahkan oleh beberapa ahli parlimen Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya ahli BN bermesyuarat malam ini.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menulis di Twitter, MKT Umno bersama presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hassan dan penasihat BN Najib Razak, calon perdana menteri pilihan Umno dan BN ialah Ismail.
“Dihantar hanya satu nama sebagai calon perdana menteri oleh ahli parlimen Umno dan BN pada 17/8/21 iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, ahli parlimen Bera,” tulisnya di Twitter selepas tengah malam ini.
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang juga ahli MKT Umno, mengesahkan nama Ismail, selepas beberapa sumber dalaman parti mendedahkan nama Ismail sebelumnya.
“Datuk Seri Ismail Sabri orangnya,” kata Tajuddin semasa ditanya pemberita ketika hendak meninggalkan Menara Dato Onn, yang menempatkan ibu pejabat Umno.
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said pula berkata dari segi hierarki parti, Ismail calon yang sesuai.
“Secara teknikalnya dia (bekas) timbalan perdana menteri dan naib presiden Umno, jadi sepatutnya dia dalam aturan,” katanya.
Azalina adalah antara 15 ahli parlimen Umno yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sehingga membawa kepada peletakan jawatannya, Isnin.
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebelum itu tidak menyebut nama tetapi hanya berkata: “Unanimous, unanimous” (sebulat suara, sebulat suara).
Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin juga mengesahkan keputusan sebulat suara dan nama calon perdana menteri BN akan diumumkan oleh pengerusi parti Ahmad Zahid Hamidi.
“Calon PM pilihan BN adalah calon yang bersih, tiada kes dan diterima rakyat,” katanya.
Dengan sokongan 42 ahli parlimen BN, Ismail dipercayai mempunyai 115 sokongan, lebih daripada 111 majoriti untuk mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat bagi mengetuai Jemaah Menteri.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut seorang perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.
Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Ismail Sabri mendahului saingan untuk merebut jawatan itu.
Sumber parti berkata, Perikatan Nasional mempunyai jumlah sokongan paling tinggi setakat ini untuk kembali sebagai kerajaan dan menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.
“Ada 100 ahli Parlimen sokong Ismail Sabri, 15 ahli parlimen Umno sokong Tengku Razaleigh Hamzah.
“Anwar Ibrahim ada 92 sokongan dan ada 13 yang sokong Shafie Apdal,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Ismail Sabri mendapat sokongan daripada PN yang mempunyai 50 ahli parlimen serta 23 ahli parlimen Umno yang sebelum ini mendukung Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Beliau juga disokong wakil rakyat MCA (2), MIC (1), PBS (1), PBRS (1) dan empat ahli parlimen bebas bekas PKR. – 17 Ogos, 2021.
Komen