Hakim benar bicara 1MDB ditangguh untuk Najib hadir mesyuarat BN


Raevathi Supramaniam

Najib Razak berdepan empat tuduhan salah guna kuasa di bawah Akta SPRM Malaysia berhubung RM2.28 juta melibatkan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

PERBICARAAN 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dipendekkan pagi ini untuk membolehkan beliau menghadiri mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkaitan pemilihan perdana menteri baharu.

Peguam Najib, Shafee Abdullah memberitahu Hakim Colin Lawrence Sequerah memohon mahkamah menangguhkan pada pukul 10.45 pagi bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat pada jam 11 ​​pagi.

“Anak guam saya sebagai penasihat Barisan Nasional (BN) akan hadir bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, serta pemimpin parti yang lain untuk membuat keputusan.

“Ini adalah permohonan saya untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 10.30 pagi hari ini bagi membolehkan beliau berada di PWTC,” kata Shafee kepada hakim.

Bagaimanapun, Sequerah hanya membenarkan penangguhan sementara dan meminta perbicaraan diteruskan pada pukul 2.30 petang ini.

“Mahkamah boleh bekerjasama tetapi perbicaraan harus diteruskan pada petang ini. Kita memerlukan kes itu bergerak,” katanya.

 “Kepentingan mesyuarat ini adalah satu-satunya sebab saya membenarkannya. Saya tidak mahu memberi gambaran perjumpaan lain akan dibenarkan, hanya kerana keadaan semasa.

“Saya menetapkan waktu untuk disambung pada jam 2.30 petang. Justeru, kita akan melangkaui waktu, lebih pukul 5 petang.

“Ini adalah pertemuan fizikal. Saya harap semua SOP dipatuhi agar tiada gangguan lain semasa perbicaraan,” kata hakim.

Mesyuarat Najib di PWTC hari ini susulan arahan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kepada ahli Parlimen semalam, untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menunjukkan sokongan mereka kepada perdana menteri baharu dan memberitahu Istana Negara pada jam 4 petang hari ini.

Beliau berkata surat itu harus dihantar melalui faks, e-mel, atau WhatsApp pada atau sebelum tempoh akhir jam 4 petang ini.

Perbicaraan 1MDB Najib akhirnya disambung selepas lebih dua bulan semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa di bawah Akta SPRM Malaysia berhubung RM2.28 juta yang didakwa diperoleh oleh Najib dengan menggunakan kedudukannya.

Beliau juga berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram. Najib didakwa melakukan kesalahan ini dengan berurusan dana haram atau wang hasil daripada aktiviti haram. – 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen