Dulu satu atau 2, kini cecah 5 jenazah sehari, kata penggali kubur


Alfian Z.M. Tahir

Sejak awal Julai, jumlah harian maut akibat Covid-19 lebih 100. Rekod harian paling tinggi sebanyak 207 kematian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

SEJAK 35 tahun Abdul Rahim Talib bekerja sebagai penggali kubur di tanah perkuburan Islam di Sungai Buloh, tidak pernah beliau menguruskan jenazah sebanyak seperti waktu pandemik ini.

Penggali kubur berusia 51 tahun itu kini menguruskan empat atau lima jenazah sehari, disebabkan jumlah kematian Covid-19 yang meningkat lebih 100 setiap hari.

Lebih janggal apabila beliau terasa sangat sunyi dan hening setiap kali melihat dan menguruskan jenazah, memandangkan ahli keluarga tidak dibenarkan dekat kerana protokol pengebumian Covid-19.

“Saya sedang menunggu satu lagi jenazah untuk dikebumikan, pesakit koronavirus,” katanya kepada The Malaysian Insight minggu lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.

Katanya, beliau menguruskan sehingga lima jenazah Covid-19 sehari dengan bantuan seorang lagi rakan sekerja. Kedua-dua mereka diupah sebuah masjid berhampiran kubur tersebut.

“Saya tidak pernah alami keadaan seperti ini sebelum ini. Selalunya, paling banyak saya uruskan pun satu atau dua jenazah sehari. Sebab pandemik makin teruk, memang akan lebih daripada satu jenazah setiap hari,” katanya.

Sejak awal Julai, jumlah harian maut akibat Covid-19 lebih 100. Rekod harian paling tinggi sebanyak 207 kematian, berlaku dalam dua hari berturut-turut iaitu pada 26 dan 27 Julai lepas.

Sejak penghujung April, jumlah kematian mula cecah dua digit, dan sejak itu tidak pernah turun. Pada Mei, 1,289 orang maut akibat Covid-19, pada Jun, 2,374 orang, dan pada Julai 3,854 orang.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 sebanyak 9,024 sejak pandemik melanda negara.

Jumlah kematian yang tinggi ini disebabkan oleh varian Delta yang sangat membimbangkan, selain kurangnya rawatan yang tepat tambahan dengan hospital juga sesak.

Semalam juga, jangkitan harian mencatat rekod baharu dengan 17,786, sementara lebih seribu pesakit Covid-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Tanah perkuburan tempat Abdul Rahim mencari rezeki ini terletak di Sungai Buloh di Selangor, negeri paling teruk dilanda kes jangkitan dan kematian paling tinggi berbanding negeri lain.

Tanah perkuburan beliau juga dekat dengan Hospital Sungai Buloh, hospital yang kini dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19.

Walaupun dengan jumlah kematian Covid-19 meningkat, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi jaminan tanah perkuburan di negeri tersebut lebih dari cukup.

“Pada masa ini, kami tidak risau masalah ruang tidak cukup. Ruang yang ada boleh bertahan untuk 10 tahun lagi.”

“Tiada isu untuk buka lebih banyak kawasan tanah perkuburan baharu,” kata Zawawi kepada The Malaysian Insight.

Jangkitan harian terus mencatat rekod baharu dengan lebih 1,000 pesakit Covid-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

Seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) senada dengan Zawawi.

Katanya setakat ini kubur di Petaling termasuk di mukimnya cukup.

Namun, beliau mengakui jumlah kematian meningkat dengan drastik.

“Di sebuah tanah perkuburan di Kota Damansara saja sudah hampir 200 mayat mangsa Covid-19 dan di Taman Medan, hampir 80.”

“Ia makin meningkat setiap hari. Setakat ini ruang cukup tetapi kita akan buka lebih banyak jika perlu dan kita asingkan yang meninggal dunia akibat Covid-19 dengan kematian biasa,” kata pegawai itu tanpa mahu disebutkan namanya.

Seorang pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebaliknya berkata walaupun jumlah maut meningkat setiap hari, namun keadaan pengebumian terkawal.

“Perkuburan di Jalan Kuari di Cheras dan di Jalan Ampang ada peningkatan dari segi permintaan, tetapi setakat ini dapat dikawal,” kata pegawai DBKL itu merujuk kepada pengebumian Islam.

Sementara itu, perkhidmatan krematorium untuk orang bukan Islam penuh dan perlu masuk dalam senarai menunggu.

Media melaporkan mayat berkumpul di hospital dan bilik mayat, kerana dua krematorium Lembah Klang beroperasi dengan kapasiti penuh.

Salah satu hospital seperti ini adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, yang menggunakan kontena untuk menyimpan mayat kerana bilik mayat sudah penuh.

Seorang bekas doktor yang baru letak jawatan di situ baru-baru ini memberitahu The Malaysian Insight kini terdapat tiga kontena mayat di HTAR.

“Sebilangan besar pesakit yang masuk berada dalam Kategori 4 dan di bawah jabatan kecemasan sahaja ada sekitar 300 hingga 400 pesakit yang menunggu keputusan.”

“Kami tak dapat rawat dengan sempurna sebab banyak kekurangan. HTAR tidak dapat menguruskannya!

“Setiap hari, anda ditugaskan merawat pesakit Covid-19 yang sedang menunggu mati. Ia sangat menyedihkan,” kata doktor itu kepada The Malaysian Insight. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen