Varian Delta, hospital sesak punca kematian Covid-19 naik, kata doktor


Ragananthini Vethasalam

Lebih 700 daripada 8,254 kematian dalam tujuh bulan pertama tahun ini adalah kes kematian sebelum tiba ke hospital, dipercayai disebabkan oleh varian Delta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.

VARIAN Delta dan tidak mendapat rawatan sewajarnya dengan bebanan kes diterima oleh hospital adalah antara punca mengapa jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat, kata doktor.

Peratusan tinggi individu yang belum divaksin juga menyumbang kepada kematian Covid-19 yang mencapai angka 8,500.

Lebih 700 daripada 8,254 kematian dilaporkan dalam tujuh bulan pertama tahun 2021 adalah kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID), dipercayai disebabkan oleh varian Delta yang sangat mudah berjangkit dan berbahaya.

Pakar perubatan kecemasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Profesor Madya Dr Tan Toh Leong berkata varian Delta adalah satu daripada punca berlakunya peningkatan kematian.

Tan yang merawat pesakit Covid-19 setiap hari berkata beberapa gejala varian termasuk cirit-birit dan sakit tekak, dan ketika jangkitan berterusan, ia boleh menyebabkan sesak nafas.

Namun, orang biasanya tidak akan melakukan ujian calitan jika mereka mengalami cirit-birit kerana menyangka ia mungkin tiada kaitan dengan Covid-19, tidak seperti gejala batuk dan demam yang biasa.

Beliau berkata ada yang mungkin masih mempunyai kontak dengan orang lain kerana tidak sedar sudah dijangkiti, dan menambah varian Delta boleh tersebar dalam masa 15 saat.

Tan berkata kebanyakan pesakit yang diintubasi dan disahkan Covid-19 tidak mendapat vaksin. Mereka tergolong dalam kelompok umur 30 hingga 50 tahun.

Vaksinasi masih belum diberi sepenuhnya kepada kumpulan umur ini, kerana mereka sepatutnya disuntik di bawah Tahap 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau menambah yang komposisi genetik adalah satu lagi faktor.

Bagi mencegah jangkitan teruk, Tan juga menasihati orang ramai tidak terlalu banyak bersenam dan berehat lebih banyak kerana ia akan membantu memperbaiki sistem imuniti tubuh, mengurangkan tekanan mental dan mengekalkan keseimbangan hormon.

Beliau berkata mereka tidak sepatutnya mengehadkan diet, tidur mencukupi dan memastikan pengambilan nutrisi yang baik agar mempunyai imuniti optimum.

Malaysia mencatatkan 174 lagi kematian semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sejak permulaan wabak kepada 8,725.

Doktor berkata punca lain yang menyebabkan pertambahan jumlah kematian adalah bilangan individu belum divaksin yang tinggi.

Data terbaru menunjukkan 6.1 juta, atau 18.7% populasi lengkap dua dos suntikan vaksin dan 12.8 juta, atau 39.3% penduduk, menerima satu dos.

Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata jumlah yang tidak divaksin masih sangat tinggi kerana mereka yang memperoleh dua dos hanya merangkumi kurang 30% populasi.

Zainal berkata ramai yang masih “rentan terhadap jangkitan Covid-19.”

“Dua hingga tiga minggu diperlukan agar vaksin boleh berfungsi dan efektif terhadap Covid-19 dan bahkan selepas divaksinasi, ada yang masih boleh dijangkiti,” katanya.

Pakar virologi, Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata kadar vaksinasi perlu ditingkatkan agar imuniti kelompok dapat diwujudkan.

“Ia memerlukan 80% populasi diberi vaksin agar negara dapat mencapai imuniti kelompok,” kata Chee.

“Sekarang ini kita belum mencapai 20% populasi yang diberi vaksin sepenuhnya (dua dos), jika kita hanya ambil kira orang dewasa maka jumlahnya hanya 25%.

“Segalanya terpulang kepada kita sebagai rakyat. (Kita) perlu membantu negara untuk menurunkan bilangan kematian.

“Patuhi SOP yang ketat (prosedur operasi standard), ingatkan mereka yang tidak mematuhi SOP dan laporkan kepada pihak berkuasa jika kita melihat seseorang melanggar peraturan atau SOP,” tambahnya.

Chee berkata kekurangan pemantauan sepatutnya ketika kuarantin di rumah dan kejadian “happy hypoxia” adalah faktor lain yang mungkin menyebabkan peningkatan jumlah kematian.

Happy hypoxia adalah keadaan yang berlaku apabila tahap oksigen dalam darah turun di bawah 94%.

Katanya, faktor lain adalah kurangnya rawatan sewajarnya untuk pesakit kerana hospital sesak dan berdepan kekurangan peralatan dan kakitangan.

Sebilangan besar hospital besar di Lembah Klang melaporkan kadar penghunian maksimum kerana peningkatan jumlah jangkitan harian. Pusat kuarantin juga penuh dengan banyak pesakit yang mengadu kekurangan oksigen dan katil.

Zainal berkata pesakit Kategori 1 dan 2 yang tiada gejala dan bergejalan ringan, cepat merosot ke Kategori 3 dan 4 yang memerlukan bantuan pernafasan, terutama jika dijangkiti varian Delta.

Katanya, masih ramai tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika kuarantin di rumah dan ada yang meninggal dunia kerana kelewatan mendapatkan rawatan perubatan atau rawatan rapi.

Beliau menambah masih banyak kes dalam komuniti yang tidak dapat dikesan. Ini boleh menjadi dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahap semasa.

“Mereka sama ada tanpa gejala, kes ringan atau tidak dapat dikesan, termasuk kontak rapat,” katanya.

Zainal berkata vaksinasi harus dipertingkatkan sementera perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di daerah sasaran bagi mengekang jumlah kematian.

Beliau berkata Pusat Penilaian Covid-19 maya dan penjagaan di rumah semasa kuarantin mesti dipertingkatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada 26 Julai dan 27 Julai bahawa sebahagian besar jangkitan baharu didiagnosis di kalangan mereka belum divaksinasi. – 30 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen