Krematorium sesak, jumlah mayat korban Covid-19 meningkat


Ravin Palanisamy

Peningkatan kes kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat menjadikan krematorium utama di Lembah Klang beroperasi pada kapasiti penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

MAYAT pesakit Covid-19 semakin meningkat di hospital dan rumah mayat sementara walaupun dua krematorium utama di Lembah Klang sudah beroperasi pada kapasiti penuh berikutan peningkatan kes kematian akibat virus itu, kata pengendali krematorium.

Ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia meluahkan kekecewaan mereka berhubung situasi ini kerana mereka terpaksa menunggu beberapa hari sebelum ahli keluarga mereka diuruskan dengan sempurna.

The Malaysian Insight meninjau dua krematorium di Lembah Klang - krematorium Kampung Tunku yang dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan krematorium Cheras yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - bagi melihat situasi di situ.

Situasi kini sangat teruk yang mana tempoh menunggu sebelum mayat dapat diuruskan adalah lima hingga tujuh hari di kedua-dua krematorium berkenaan.

Menurut pengendalinya, mereka kini melakukan sedaya upaya untuk menguruskan peningkatan kes kematian di Lembah Klang sejak negara mula merekodkan lonjakan kes kematian Covid-19.

Bagaimanapun menurut mereka, ia bergantung kepada kapasiti operasi pembakar mayat.

Pengurus kremtorium Cheras yang hanya mahu dikenali sebagai Kevin berkata, mereka mempunyai tujuh alat pembakar mayat di krematorium berkenaan dan hanya 28 mayat dapat diuruskan dalam sehari, dengan setiap satunya menguruskan empat mayat dalam satu masa.

Walaupun kematian Covid-10 meningkat, beliau berkata tidak semua slot diberikan kepada pesakit Covid-19 kerana mereka juga menerima mayat bukan Covid-19 setiap hari.

Mereka terpaksa bahagikan slot sama rata bagi menguruskan kes kematian Covid-19 dan bukan Covid-19, yang menyebabkan jumlah mayat semakin meningkat di hospital.

“Kami akan berikan 14 slot kematian Covid-19 dan 14 lagi untuk kematian bukan Covid-19 setiap hari,” kata Kevin.

“Kami juga mempunyai masa yang spesifik antara pukul 10 pagi dan 11.30 pagi, dan 2 petang dan 4 petang, bagi bukan kematian Covid-19 dan antara 12 tengah hari dan 2 petang, dan 4 petang dan 6 petang, kami uruskan kes kematian Covid-19.”

Krematorium Cheras menerima kes kematian Covid-19 dari Hospital Kuala Lumpur dan  Hospital Canselor Tuanku Muhriz (sebelum ini dikenali sebagai HUKM).

Dengan lonjakan kes kematian, Kevin mendakwa terdapat kes kematian Covid-19 yang terpaksa ditangguhkan hingga lima hari.

Di krematorium Kampung Tunku Petaling Jaya, penjaganya Ribert Solomon berkata mereka turut beroperasi pada kapasiti penuh dengan kesemua tiga pembakar digunakan.

Katanya, mereka juga terpaksa membahagikan slot sama rata setiap hari walaupun jumlah kematian Covid-19 melonjak di negeri itu.

“Kaki sediakan tiga slot pada pagi untuk kes kematian ukan Covid-19 dan tiga slot selepas 12 tengah hari untuk kes Covid-19.

“Pembakar kami hanya mampu uruskan dua mayat dalam satu masa setiap hari. Bukan kami tidak mahu tambahkan tetapi sekiranya ia melebihi had, pembakar mungkin akan rosak dan menyebabkan masalah lebih besar, yang boleh membawa kepada kes penangguhan leih banyak,” katanya yang berusia 58 tahun.

Solomon berkata mereka akan menguruskan lebih banyak lebih banyak kes kematian Covid-19 jika mereka mempunyai lebih sedikit kes kematian bukan Covid untuk diuruskan.

Beliau bagaimanapun berkata kini krematorium perlu ditempah seminggu awal, dengan kebanyakan kes tertangguh adalah dari dua hospital - Hospital Sungai Buloh dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Tempahan untuk Covid-19 tidak berhenti. Kami cuba memenuhinya sebanyak yang mungkin dan kami juga penuhkan slot yang dikhaskan untuk kes kematian bukan Covid-19.

“Namun kes kematian terus meningkat di negeri ini dan kami tiada pilihan selain menangguhkan kes baharu kerana masih ada kes tertangguh yang perlu diuruskan.

Merujuk kepada mayat yang sedang mereka masukkan dalam pembakar, Solomon berkata pesakit berkenaan meninggal dunia lapan hari lalu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, dua krematorium akan ditambahkan di negeri itu untuk mempercepatkan pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di negeri itu.

Malaysia merekodkan 8,551 kes kematian sejak permulaan pandemik. Daripada jumlah itu 8,080 kematian direkodkan sejak awal tahun ini.

Lembah Klang menyaksikan jumlah kes tertinggi sejak awal pandemik.

Dalam tempoh tiga hari lalu sahaja, Malaysia merekodkan 557 kematian yang mana Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan 294 kematian. – 29 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen